N Faizal Ghazali
Hala tuju politik baru Rafizi Ramli yang menjadi tanda tanya selepas dia tidak tidak lagi sehaluan dengan kerajaan Madani khususnya PKR pimpinan Anwar Ibrahim akan terjawab pada Ahad nanti.
Pengumuman bekas Timbalan Presiden PKR itu sudah pasti dinanti-nantikan ramai orang, khususnya dalam kalangan penyokong ahli parlimen yang berpengaruh terbabit serta pemerhati.
Apatah lagi kebanyakan orang sudah memahami bahawa Rafizi selalunya bertindak berdasarkan pertimbangan yang cermat serta diperkirakan dengan baik.
Penganalisis politik berpandangan, dengan perkembangan semasa adalah mustahil untuk Rafizi kekal bersama PKR, sekali gus hampir pasti Ahli Parlimen Pandan itu akan mengambil haluan berbeza.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu Prof Madya Mohd Yusri Ibrahim berkata, mengenali karekter Rafizi, dia tidak menjangka tokoh itu akan menyertai parti besar sedia ada sama ada PN atau BN.
Hal itu kerana, jelasnya, dalam keadaan sekarang bekas menteri ekonomi tersebut bukan lagi ingin menjadi pengikut, sebaliknya menunjukkan dia ingin berperanan sebagai ketua penggerak.
“Kini hanya ada dua pilihan politik paling munasabah untuk Rafizi, sama ada tubuh parti baru; atau menyertai parti kecil sedia ada sekali gus mengetuai parti tersebut.
“Banyak ura-ura timbul, namun kita semua tidak akan pasti selagi dia tidak umumkan secara rasmi – yang dijangka pada 17 Mei ini.
“Sama ada tubuhkan parti baru atau mengetuai parti kecil sedia ada, ia akan menjadi kuasa ketiga baru dalam PRU ke-16 nanti,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Namun ketua penyelidik Ilham Centre itu berpandangan kedua-dua pilihan tersebut sedikit sebanyak berisiko memberi kesan kepada PH.
“Kerana sehingga kini, segmen yang memberi reaksi terhadap gerakannya adalah segmen sama dengan penyokong PH. Sehingga kini belum nampak secara ketara segmen yang menyokong Rafizi adalah segmen lain.
“Jika dia mampu 'mencuri' penyokong sedia ada PH dalam jumlah yang signifikan, sudah tentu PH akan berdepan masalah, apatah lagi dengan persaingan sangat sengit dan marginal di beberapa kawasan pilihan raya sekarang,” kata Mohd Yusri.
Terdahulu Rafizi mengesahkan bakal membuat satu pengumuman "luar biasa" berhubung hala tuju baru politiknya pada Ahad ini. Turut akan diketahui ialah percaturan bekas Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.
Pengumuman mereka dijadualkan berlangsung dalam satu acara terbuka di Petaling Jaya, bermula jam 2 hingga 5 petang.
Menariknya, pengumuman itu dijadual pada hari berlangsungnya Konvensyen PH yang berlangsung di Johor. Semua pemimpin tertinggi parti kerajaan itu dijangka berkumpul di program berkenaan.
Susah jika suam-suam kuku
Bercakap kepada pemberita selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya semalam, Rafizi berkata, keputusan mengadakan pengumuman secara terbuka itu membuktikan perkara yang bakal dibawanya mempunyai kepentingan yang besar dan berbeza daripada kenyataan yang biasa dikeluarkan melalui platform media sosial.
Ditanya mengenai spekulasi sesetengah pihak bahawa dia tidak akan meninggalkan PKR pula, Rafizi berkata, ia terpulang kepada pendapat masing-masing.
Malah, dia menyifatkan ia sebagai kelebihan ahli politik sepertinya bagi memastikan orang ramai dan pihak media terus tertanya-tanya mengenai langkah seterus yang akan diambil sehingga tiba hari pengumuman itu.
Rafizi dan Nik Nazmi sebelum ini meletakkan jawatan dalam kabinet, masing-masing sebagai menteri ekonomi dan menteri sumber asli dan kelestarian alam pada tahun lalu selepas gagal mempertahankan jawatan dalam pemilihan PKR.
Mohd Yusri berkata, wujud persoalan di sebalik pilihan Rafizi nanti, iaitu adakah segmen yang dilihat memberi sokongan kepadanya buat masa ini akan diterjemah kepada undi dalam pilihan raya, atau mereka hanya menyokong kerana selesa dengan apa yang diutarakannya.
Justeru, ujar Mohd Yusri, jika Rafizi berupaya membentuk gelombang dan momentum yang kuat serta meyakinkan, dia berpotensi untuk mendapat dukungan dalam bentuk undi.
“Namun jika (sokongan) sekadar suam-suam kuku, susah untuk pengundi terjemahkan kepada undi.
“Ini kerana secara umumnya psikologi pengundi, mereka hanya akan memberi undi kepada parti yang mereka yakin akan menang.
“Walaupun setuju dengan idealisme sesuatu kuasa ketiga, payah mereka nak undi jika mereka tak yakin boleh menang,” katanya.
Bagaimanapun tambah Mohd Yusri lagi, gerakan Rafizi berpotensi untuk memberi kesan kepada PH kerana kedua-dua kumpulan masih berebut segmen sokongan yang sama, iaitu kelompok progresif.
Jejas kekuatan akar umbi
Namun, katanya, sejauh mana impak tersebut akan berlaku bakal dapat diukur apabila Rafizi mula bergerak secara rasmi nanti.
Pensyarah Kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSza), Hussain Yusri Zawawi, pula berpendapat pengumuman hala tuju Rafizi dijangka menjadi detik penting dalam menentukan dinamika politik negara.
Menurutnya, kedudukan Rafizi bukan sekadar sebagai individu dalam parti, tetapi antara tokoh utama dalam PH yang membawa naratif reformasi dan kepercayaan rakyat terhadap perubahan politik.
“Sejauh mana pengumuman tersebut memberi kesan kepada PH dan kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sangat bergantung kepada bentuk keputusan yang akan diumumkan.
“Jika (berlaku) penubuhan parti baru, (ia) berpotensi menyebabkan perpecahan sokongan dalam PKR. Rafizi mempunyai pengaruh tersendiri, khususnya dalam kalangan penyokong reformasi dan generasi muda.
“Jika sebahagian penyokong atau ahli parti beralih kepada parti baru, PKR akan berdepan dengan pengurangan kekuatan akar umbi dan kelemahan struktur organisasi.
“Ini boleh menjejaskan keupayaan PKR untuk bergerak secara efektif dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Mengulas lanjut dari perspektif gabungan politik, dia berkata, langkah tersebut boleh melemahkan kedudukan PH secara keseluruhan.
Katanya dalam sistem politik berbilang parti seperti Malaysia, perpecahan dalam sesuatu komponen utama akan memberi kesan secara langsung kepada kestabilan gabungan.
“Parti baru yang mungkin ditubuhkan akan bersaing dengan PH dalam kawasan yang sama, sekali gus memecahkan undi penyokong yang sebelum ini berpihak kepada gabungan tersebut.
“Ini boleh memberi kelebihan kepada pihak lawan lain dalam pilihan raya,” katanya lagi.
Tambah Hussain Yusri lagi, dalam konteks politik Malaysia hari ini rakyat semakin pragmatik dan pengundi cenderung menilai keberkesanan kerajaan berdasarkan hasil dasar dan kestabilan negara, bukannya semata-mata dinamika dalaman parti.
Pada masa sama, dia mengingatkan, walaupun pengumuman Rafizi boleh mencetuskan gelombang perbincangan politik serta memberi ‘gegaran’ kepada imej PH, ia belum tentu cukup kuat untuk menggugat dominasi Anwar secara fundamental.
Katanya pengumuman hala tuju politik Rafizi berpotensi memberi tamparan persepsi terhadap PH dan Anwar sekiranya ia membawa mesej kritikal.
“Namun, kesan jangka panjang tetap bergantung kepada bagaimana kepimpinan kerajaan mengurus naratif tersebut, tahap solidariti dalaman PKR, serta kemampuan kerajaan mengekalkan keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi dan kestabilan nasional,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan