"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah: Datuk ditahan bantu siasatan kes langgar cucu

KOSMO!
KANAK-KANAK perempuan berusia dua tahun maut selepas dilanggar lori yang dipandu datuknya di Kampung Bukit Kuang, Gurun hari ini.
GURUN – Seorang lelaki berusia 61 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kematian cucunya akibat dilanggar lori di Kampung Bukit Kuang, di sini pagi tadi.

Lelaki yang juga datuk kepada mangsa berusia dua tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di Sungai Petani, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, permohonan reman terhadap warga emas itu akan dibuat di Mahkamah Majistret Sungai Petani pagi esok.

Menurutnya, reman diperlukan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas lelaki berkenaan didapati negatif dadah,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas dilanggar lori yang dipandu datuknya ketika kenderaan itu sedang mengundur.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi di pekarangan rumah mereka, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada anggota badan. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: