SITI NUR ZAWANI
Datuk Seri Rafizi Ramli mengalu-alukan keputusan Kerajaan Malaysia untuk mendedahkan kepada umum laporan akhir Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji.
Beliau berkata, laporan itu akhirnya akan mendedahkan penyelewengan yang berlaku di dalam Tabung Haji sepanjang lebih sedekad akibat kelemahan tadbir urus di bawah Barisan Nasional, dan disucikan oleh Pas atas nama perpaduan ummah.
Menurut beliau, walaupun Tabung Haji telah diselamatkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan pada tahun 2019, namun harga yang dibayar oleh rakyat adalah sangat tinggi.
“Ia melibatkan puluhan bilion duit cukai rakyat untuk menanggung kerugian dari pelaburan-pelaburan Tabung Haji selama lebih sedekad.
“Tabung Haji juga akan mengambil masa berdekad lagi untuk kukuh semula, sementara hutang berpuluh bilion itu perlu ditanggung oleh rakyat sekurang-kurangnya sedekad lagi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa laporan Suruhanjaya Diraja Tabung Haji yang terperinci akan menunjukkan bagaimana institusi itu rosak di bawah pentadbiran Umno.
Dakwa Rafizi, laporan itu sepatutnya didedahkan lebih awal pada 2023, namun ketika itu Datuk Seri Anwar sangat berhati-hati untuk menjaga hati Umno.
“Laporan Suruhanjaya Diraja Tabung Haji adalah terperinci dan saya yakin ia akan menunjukkan bagaimana institusi itu rosak di bawah pentadbiran Umno.
“Ia juga membantu rakyat menghadam bagaimana sepak terajang politik, melalui tindakan suci mensuci terutamanya oleh Pas, membawa kekeliruan dalam kalangan rakyat mengenai apa yang telah terjadi di Tabung Haji.
“Sepatutnya, laporan RCI Tabung Haji itu didedahkan seawal 2023 lagi apabila laporan itu mula-mula siap. Tetapi pada ketika itu, Datuk Seri Anwar sangat berhati-hati untuk menjaga hati Umno, maka keputusan dibuat untuk menanam laporan itu,” katanya.
Rafizi berkata, beliau adalah orang yang paling gembira apabila laporan RCI Tabung Haji didedahkan kerana ia membuktikan semua pendedahan yang telah dibuat beliau antara 2015 hingga 2018 mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji adalah benar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan