"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lombong emas tanpa kebenaran, 9 individu ditahan

BERNAMA

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menahan sembilan individu dipercayai melakukan aktiviti perlombongan emas tanpa kebenaran di Kompartmen 152 dan 153, Hutan Simpan Bukit Ibam, Rompin, Isnin lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu memaklumkan, mereka terdiri tujuh lelaki dan dua wanita ditahan dalam operasi penguatkuasaan oleh Pejabat Hutan Daerah Rompin.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa lubang yang dipercayai digali menggunakan peralatan seperti cangkul bagi tujuan mendapatkan emas dengan kedalaman antara dua hingga tiga meter.

“Beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti tersebut turut disita, termasuklah mesin pam air yang diubah suai dan kuali,” menurut kenyataan itu.

Jabatan berkenaan memaklumkan, pemeriksaan mendapati aktiviti perlombongan tanpa kebenaran itu meliputi keluasan kira-kira 1.62 hektar, dengan anggaran kerugian berdasarkan kos pemulihan kawasan hutan berjumlah RM24,300.

Menurut kenyataan itu, koordinat lokasi lubang turut direkodkan bagi tujuan dokumentasi, pemetaan dan siasatan lanjut, manakala notis sitaan serta pita penguatkuasaan dipasang di laluan masuk ke kawasan terbabit.

“Kesemua orang yang disyaki dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin bagi tujuan siasatan lanjut oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang,” menurut kenyataan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 32(1), Seksyen 47(1) dan Seksyen 81(1)(e) serta (g) Enakmen Perhutanan Negara (Negeri-Negeri Malaysia) (Pemakaian) 1986.

Menurut kenyataan sama, Pejabat Hutan Daerah Rompin akan meneruskan pemantauan dan tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan atau disyaki membabitkan kesalahan hutan dalam Hutan Simpanan Kekal. – BERNAMA

Tiada ulasan: