"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suri rumah menyamar pegawai kanan Imigresen ditahan

Bernama

MELAKA: Jabatan Imigresen Melaka menahan seorang wanita tempatan yang disyaki menyamar sebagai pegawai kanan Imigresen dan menjadi dalang menguruskan permohonan pas kerja bagi warga asing yang ingin mendapatkan permit bekerja di negara ini.

Pengarah Imigresen Melaka Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, suri rumah berusia 50an itu ditahan dalam serbuan Op Serkap di sebuah kafe di Taman Malim Jaya kira-kira 6 petang semalam.

Anirwan Fauzee berkata, susulan tangkapan itu, serbuan turut dilakukan di sebuah kondominium di Kota Laksamana dan pelbagai barangan disyaki milik suspek dirampas bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata, antara barangan dirampas sepasang pakaian seragam hitam beserta aksesori, sepasang tanda pangkat pegawai kanan Imigresen, sepasang ‘collar batch’ Jabatan Imigresen, satu lencana integriti Jabatan Imigresen, dua tudung berwarna kelabu, dua kemeja-T berwarna hitam dengan logo Jabatan Imigresen dan sekeping kad pengenalan Jabatan Imigresen yang dipalsukan.

“Ketika ditahan di kafe berkenaan, suspek sedang berurusan dengan seorang warga China dan mangsa mendakwa telah membayar kira-kira RM6,000 bagi mendapatkan permit kerja dan setakat ini tiga mangsa telah diperdaya oleh suspek termasuk dua rakyat Malaysia.

“Suspek menawarkan khidmat permohonan pas kerja bagi warga asing yang memerlukan permit kerja atau pas lawatan kerja sementara tanpa majikan atau warga asing terlibat perlu hadir ke pejabat Imigresen,” katanya pada sidang akhbar.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Imigresen Melaka (Kawalan) merangkap Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Melaka Suzila Suhya dan Ketua Unit Risik dan Operasi Jabatan Imigresen Melaka Irwan Rizalman Abd Rashid.

Anirwan Fauzee berkata, siasatan awal mendapati suspek menjalankan aktiviti penyamaran dan penipuan itu antara satu hingga dua tahun dengan modus operandi bergerak secara solo, mendekati majikan atau warga asing yang dilihat terdesak mendapatkan permit kerja.

Beliau berkata, ibu kepada lima anak itu turut memuat naik gambarnya yang lengkap berpakaian seragam jabatan itu di media sosial bagi meyakinkan majikan bahawa suspek merupakan anggota jabatan itu.

Anirwan Fauzee berkata, suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 56(1)(k) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana cubaan memperoleh secara membuat kenyataan palsu atau tanpa kuasa yang sah mempunyai dalam milikannya pas, dokumen atau perakuan yang palsu atau yang dipinda secara menyalahi undang-undang.

“Jabatan Imigresen Melaka turut mengeluarkan saman saksi kepada mangsa atau pelanggan dan suami suspek bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

“Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan individu yang menawarkan perkhidmatan Imigresen secara tidak rasmi, sebaliknya berurusan terus di pejabat Jabatan Imigresen terdekat.”

Tiada ulasan: