"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tindakan Wanita Ini Kejutkan Dua Pemuda

KUNDANG - ”Aku bawa bekal kau susah apa, bukan pakai duit kau, mulut aku perut aku, suka hati akulah”.

Itu dialog yang diucapkan seorang suri rumah, Rubainah Saruji, 56, kepada dua pemuda India tahun lepas ketika dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur sewaktu menaiki bas.

Teguran Rubainah itu mengejutkan pemuda berkenaan yang tidak menyangka percakapan mereka dalam Bahasa Tamil itu difahami wanita Melayu tersebut.

Malahan, pengucapan Rubainah yang menggunakan bahasa Tamil menyebabkan kedua-dua pemuda itu terdiam dan malu sendiri.

Insiden mencuit hati itu dikongsi Rubainah sewaktu ditemu bual pemberita baru-baru ini.

Selain mampu bertutur dalam bahasa Tamil ibu kepada enam anak ini juga boleh menulis dan membaca dalam bahasa tersebut.

Faham bahasa Tamil sejak kecil

Berkongsi cerita, Rubainah yang berasal dari Batang Berjuntai itu boleh bertutur dalam bahasa itu semenjak kecil disebabkan tinggal dalam estet berjirankan kaum India.

“Seingat saya semasa umur enam tahun saya sudah boleh faham dan bercakap bahasa Tamil. Nak menulis dan membaca pun boleh tapi tidak semahir dulu kerana sudah lama tidak berlatih.

“Daripada 11 beradik hanya saya dan kakak boleh berbahasa Tamil sementara yang lainnya faham tapi tidak boleh bertutur bahasa tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, bagi yang tidak mengenalinya pasti terkejut dengan kelebihannya itu memandangkan ramai orang Melayu boleh berbahasa Cina tapi yang mahir berbahasa Tamil amat jarang ditemui.

Malahan dia akui jarang melepaskan peluang menggunakan kelebihan tersebut jika ada yang mengumpatnya dalam bahasa Tamil.

“Kadang-kadang kalau pergi ke pasar raya atau ke pusat beli-belah kalau terdengar orang India berkata pasal saya, saya akan terus membalasnya.

“Dan reaksi yang saya terima sama. Kebanyakan daripada mereka akan terkejut dan kemudian meminta maaf.

“Kawan-kawan kata bahasa Tamil saya lebih baik daripada mereka yang kini menggunakan bahasa pasar sedangkan saya masih menggunakan bahasa baku,” katanya.

Katanya, tidak mahu kemahiran yang ada padanya tumpul menyebabkannya lebih gemar berbahasa Tamil apabila berbual dengan kaum India.

“Walaupun kawan India cakap Melayu saya akan membalasnya dengan bahasa Tamil kerana sudah terbiasa. Saya juga pandai memasak menu kaum India yang rasanya dijamin asli.

“Memang ramai orang Melayu pandai masak kari tapi rasanya tak sama dengan yang asli. Disebabkan saya rajin duduk di rumah jiran dulu jadi saya belajar dari situ. Selain kari saya boleh masak kuah dal, tosai, payasam dan nasi manis (ponggal),” katanya.
Sudah anggap seperti kakak

Rakannya, U Vimala, 43, berkata, dia telah menganggap Rubainah seperti kakaknya sendiri dan mula mengenalinya sejak berusia 15 tahun lagi.

“Ibu saya dan Rubainah bekerja di kilang sama jadi bila saya masuk bekerja memang saya sudah kenal dia. Kebanyakan masa saya banyak dihabiskan bersamanya sehinggalah sekarang.

“Bila musim perayaan memang kami akan saling berkunjung. Jika kami berkursus biasanya kami akan duduk sebilik.

Masalah berlainan agama tidak menjadi isu sebab dulu saya sekolah aliran kebangsaan jadi saya tak pelik bila nampak dia sembahyang atau puasa kerana saya tahu itu tuntutan agama Islam,” katanya.

Rubainah menunjukkan skil menulis Tamil sambil diperhatikan Vimala dan anaknya serta Salasiah.
Jadi penterjemah program

Bagi Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dun Kuang, Salasiah Disa, kelebihan yang ada pada Rubainah membolehkannya untuk menjadi jurubahasa sewaktu membuat program bersama masyarakat India.

“Kadang-kala kalau ada program bersama masyarakat India saya akan ajak dia turut serta. Ada kaum India yang kurang fasih atau faham bahasa Melayu jadi bila mereka tak faham saya akan minta Rubainah memberikan penjelasan dalam bahasa Tamil.

“Saya kenal Rubainah sewaktu dia ke pusat khidmat untuk urusan dokumentasi dan terdengar dia berbahasa Tamil dengan rakannya yang juga kaum India,” katanya.
-sinarharian

Ditahan cuba jual ikan paus sebesar lori (Gambar)


Ikan sebesar lori itu menarik perhatian orang ramai.
FUJIAN - CHINA. Seorang nelayan ditahan selepas cuba menjual spesies ikan paus terancam sebesar lori selepas perbuatannya memotong ikan berkenaan di sebuah tempat letak kereta hotel tular.

Perbuatan lelaki yang membawa ikan paus berkenaan di belakang sebuah lori turut menarik perhatian orang ramai di bandar Sansha yang kemudiannya membuat laporan kepada pihak berkuasa, lapor Chinanews.com.

Nelayan tersebut cuba menjual ikan paus yang berukuran beberapa meter panjang kepada sebuah restoran sebuah hotel, namun kakitangan hotel berkenaan enggan membelinya kerana ikan berkenaan berbau dan beracun.

Video tular yang dimuat naik di Pear Video menunjukkan lelaki berkenan dirakam memotong haiwan itu kepada potongan kecil di tempat letak kereta.

Pihak berkuasa perlindungan alam sekitar Fujian mengesahkan kejadian itu selepas menghantar pasukan ke Sansha untuk siasatan.

Ikan paus adalah spesies terancam dilindungi oleh undang-undang Cina dan antarabangsa.

Sebagai ikan hidup terbesar di dunia, ikan berkenaan boleh mencapai panjang lebih daripada 12 meter dengan berat lebih daripada 10 tan.
-sinarharian

Ganjaran RM5,000 Tolong Tangkap Amah


Rakaman CCTV menunjukkan amah tersebut dijemput sebuah kereta yang dipandu seorang wanita.
PETALING JAYA: Trend amah (pembantu rumah warga asing) melarikan diri bukan sahaja menimpa jutawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri dan Datuk Nur Sajat tetapi turut berlaku kepada sepasang suami isteri yang menggunakan khidmat itu.

Bapa kepada dua orang anak yang dikenali sebagai Erie Nor Zaidi memuatnaik foto amahnya yang didakwa melarikan diri pada 20 September lalu di Facebook miliknya.

Malah, dia turut menawarkan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada orang ramai yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya amah warga Indonesia tersebut.

"Rasanya dia masih di sekitar Shah Alam lagi. Tolong saya sebarkan dan ganjaran RM5,000 kepada sesiapa yang berjaya bawa dia kepada saya.

"Saya serahkan duit tabungan saya sebagai ganjaran untuk anda. Jangan diapa-apakan dia. Cukup sekadar bawa dia jumpa saya sahaja," tulisnya.

Posting tersebut menjadi tular di media sosial dan dikongsi lebih 2,528 kali di Facebook.

Menurut Erie, amah tersebut meninggalkan dua anak kecilnya yang masing-masing berusia enam dan tiga tahun bersendirian dengan pintu rumah dibiarkan tidak berkunci.

Lebih teruk lagi, amah tersebut turut melarikan sebuah komputer riba, tab jenama Samsung Galaxy, dua telefon bimbit dan juga beg tangan jenama Louis Vuitton dari kediaman mereka di Cahaya Alam, Shah Alam.

Wajah amah yang dikenali sebagai Amenah.
"Ini pembantu rumah s****, tinggalkan anak-anak kecil kami di rumah begitu saja. Pintu dibiarkan tidak berkunci dengan anak kecil 6 dan 3 tahun sendirian.

"Barang-barang bernilai di dalam rumah dilarikan dengan kerugian hampir RM10,000 di rumah kami," katanya.

Jelas Erie, melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah jiran mereka mendapati amah tersebut dijemput sebuah kereta semasa kejadian.

"Ada kereta yang datang ambil maid tersebut tetapi nombor plat tak jelas mungkin agak jauh.

"Pembantu rumah s**** tersebut dapat bantuan daripada siapa? Adakah ejen atau sesiapa? Pemandu kereta tersebut adalah wanita," katanya.

Pada masa sama, Erie bersyukur kerana dua anak kecilnya selamat meskipun ditinggalkan dalam keadaan pintu rumah tidak berkunci.

"Video kelihatan anak-anak kami keluar dari rumah yang tidak berkunci. Nasib kami baik mereka tak keluar ke jalan utama.

"Mohon kongsi status ini agar ada yang dapat membantu. Kami masih buka tawaran ganjaran RM5,000 jika berjaya tangkap wanita ini dan bawa kepada kami," katanya.
-mstar