"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Petisyen Pensiangan: Mahkamah celarukan proses demokrasi

 
   Lanjusoh 
KOTA BHARU, 15 Mac (Hrkh) - 
Tindakan pegawai pengurus pilihan raya parlimen Pensiangan, Sabah 'menghalang' calon Parti KeADIlan Rakyat, Danny Anthony Andipai mengemukakan borang pencalonan seakan-akan dipersetujui Mahkamah Persekutuan.

Ini kerana pada 13 Mac lalu mahkamah tersebut mengekalkan kerusi parlimen Pensiangan kepada Barisan Nasional (BN), Tan Sri Joseph Kurup.

Sedangkan Mahkamah Pilihan Raya pada 18 September tahun lalu membatalkan kemenangan tanpa bertanding Joseph, selepas Danny memfailkan petisyen pada 9 April tahun lalu.

Pada pilihan raya Mac lepas, Joseph yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) memenangi kerusi itu tanpa bertanding apabila Danny mendakwa beliau dihalang bagi mengemukakan borang pencalonan.

Pada petisyen tersebut calon KeADILan terbabit menamakan Joseph sebagai responden pertama, manakala responden kedua, iaitu Pegawai Pengurus SPR, Bubudan OT Majalu.

Pada petisyen itu Anthony memberitahu beliau telah menyerah borang pencalonan pada waktu yang ditetapkan, namun Pegawai Pengurus Pilihan Raya sibuk menghabiskan masa untuk calon lain menyebabkan beliau tidak berpeluang mengemukan borang sehingga pencalonan ditutup jam 9.55 pagi.

Mengulas perkembangan itu Pengarah Strategik KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan tersebut amat memualkan kerana tidak wujud keadilan bagi menyuburkan demokrasi di negara ini.

Katanya itu kes itu akan menjadi ikutan (precede) kepada kes-kes lain berkaitan isu yang sama pada masa akan datang.

"Melihat terhadap apa yang diputuskan di Mahkamah Persekutuan seolah-olah hakim bersetuju dengan tindakan pegawai pengurusan pilihan raya melengah-lengahkan penerimaan borang pencalonan.

"Tindakan itu paling dahsyat kerana mencabul keadilan dan hak orang lain untuk bertanding bagi menegakkan demokrasi di negara ini," katanya ketika dihubungi di sini.

Jumaat lalu Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan dibuat Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan calon BN.

Keputusan itu dibaca Hakim Dato' Nik Hashim Nik Abdul Rahman dengan menganggap pegawai pengurus pilihan raya menjalankan tugas selari dengan peruntukan undang-undang pilihan raya.

Saifuddin yang juga anggota parlimen Machang berkata, berdasar kepada penghakiman tersebut Pakatan Rakyat bimbang kaedah serupa akan dibuat pada petisyen pilihan raya akan datang.

Menurutnya ini kerana penghakiman itu akan menjadi ikutan kepada kes-kes serupa pada masa depan.

"Ia boleh berlaku apabila ada petisyen termasuk di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air apabila ada pihak tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya tersebut nanti.

"Apa yang jelas banyak kes yang diadil di mahkamah sekarang hampir kesemuanya berpihak kepada Barisan Nasional," katanya.

Contohnya beliau berkata, kes dakwaan liwat membabitkan Dato' Seri Anwar Ibrahim telah dipindahkan dari Sesyen ke Mahkamah Tinggi biar pun mahkamah sesyen ada kuasa mendengar kes tersebut.

Begitu juga dengan kes di Perak apabila Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim memutuskan lima peguam tidak mempunyai locus standi untuk mewakili Speaker Dun Perak, V Sivakumar, dalam kes saman yang dihadapi.

Bagaimanapun Mahkamah Rayuan kelmarin memutuskan Sivakumar bebas melantik peguam sendiri.

Begitu kata Saifuddin dalam kes mata lebam Anwar bilamana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak melakukan kesalahan jenayah.

Menurutnya juga apa yang berlaku itu dibimbangi akan lebih teruk lagi apabila Dato' Seri Najib Razak mengambil alih teraju pemerintahan tidak lama lagi.

"Sekarang sudah kelihatan ada kecelaruan dalam keputusan yang dibawa ke muka pengadilan. Sindrom tersebut dibimbangi lebih parah selepas ini," ujarnya.

Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Wan Nik Wan Yusuf berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes petisyen Pensiangan secara jelas cuba menyempitkan lagi ruang demokrasi.

Katanya, langsung tidak masuk akal apabila SPR hanya menyediakan satu kaunter sahaja di tempat penamaan calon sehingga menghalang calon lain mengemukakan borang pencalonan.

"Sedangkan masa yang ditetapkan bagi menyerahkan borang hanya sejam bermula jam 9 hingga 10 pagi," katanya. 


Tiada ulasan: