"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Chua-Husam bincang 'isu sensitif'

Pertemuan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, asalnya bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian kemelut politik di Perak. 

Bagaimanapun kenyataan bekas menteri kesihatan itu boleh menimbulkan spekulasi baru apabila menyatakan terdapat "isu-isu sensitif" yang mereka bincangkan dan "tidak boleh dilaporkan." 

Bekas ahli parlimen Labis itu menjelaskan, mereka berdua juga membincangkan isu-isu politik negara, selain krisis rampasan kuasa BN di negeri tersebut.

Dalam pertemuan tersebut, pihak MCA turut diwakili oleh anaknya dan ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong dan juga ahli jawatankuasa pusat parti itu Loh Seng Kok. 

Dr Chua menjadi perhatian nasional akhir-akhir ini apabila muncul spekulasi beliau akan melompat kepada Pakatan Rakyat selepas didakwa telah dipinggirkan dalam partinya sendiri.

Selepas pertemuan mereka hari ini, Husam gagal dihubungi untuk penjelasan lanjut. 

Dalam kenyataannya, Dr Chua juga berkata orang ramai kini muak dengan permainan politik berlebihan antara BN dan Pakatan Rakyat, selain krisis berlarutan di Perak sejak Februari lalu.

Pertemuan dua pemimpin itu diusahakan oleh Husam dalam rangka PAS mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin BN. 

Sabtu lalu, beliau mengadakan pertemuan dengan ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Dalam pertemuan PAS-MCA itu, Dr Chua berkata beliau menyatakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, jika disahkan sebagai menteri besar Perak, wajar mengadakan sidang tergempar DUN bagi menguji sokongan yang diperolehinya.

Tambahnya, jika gagal mendapat sokongan, beliau wajar meletakkan jawatan dan membenarkan menteri besar BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir mengambil alih kerajaan.

Atau, tambah Dr Chua, Mohammad Nizar membubarkan DUN dengan keizinan Sultan Perak. 

"Bagaimanapun, saya juga menjelaskan bahawa sama ada Pakatan Rakyat atau BN berjaya, mereka tidak akan boleh membentuk kerajaan yang stabil," katanya lagi. 

"Kami setuju bahawa terlalu banyak permainan politik buat masa sekarang. Rakyat sudah meluat pada ahli-ahli politik."
-malaysiakini-

Tiada ulasan: