"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKM : Kerajaan Malaysia Tidak Tepati Janji - Peguam Chin Peng

Peguam kepada bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Darshan Singh Khaira mempersoalkan keikhlasan kerajaan Malaysia menunaikan janjinya untuk membenarkan bekas pemimpin-pemimpin parti tersebut termasuk Chin Peng pulang ke tanah air kelahiran mereka setelah menanda tangani perjanjian dengan PKM pada 1989.

Dalam satu kenyataan kepada media yang dikeluarkan hari ini beliau mengajukan soalan mengapa kerajaan Malaysia mengambil keputusan menanda tangani perjanjian keamanan dengan PKM yang menamatnya persengketaan antara kedua-dua belah pihak sekiranya ia berniat tidak akan menepati janji yang telah dimeterai?

Sekiranya ini benar bolehkan masyarakat antarabangsa mempercayai mana-mana perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia pada masa depan?

Darshan Singh berkata menurut perjanjian tersebut kesemua ahli jawatankuasa pusat dan ahli biasa PKM dibenarkan pulang dan tingal di Malaysia termasuk Rashid Maidin, Abdullah CD, Shamsiah Fakeh , Zainon @ Ah Yan, Suriani Abdullah, Abu Samah Mohamad Kassim.

Semua kecuali Chin Peng dibenarkan pulang.

Jelas beliau di bawah perjanjian yang ditandatangani yang dikategorikan sebagai perjanjian antarabangsa tidak ada syarat membuktikan mereka dilahirkan di Malaysia.

Darshan Singh berkata menurut sejarah keluarga Chin Peng beliau dilahirkan pada 21 Oktober 1924 di No 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan, Perak.

Kedua-dua ibu dan ayah beliau juga dikebumikan di Sitiawan sementara adik beradik beliau juga menetap di Malaysia.

Sebagai anak yang taat beliau ingin memberi penghormatan and menziarah pusara ibu dan ayah beliau kata peguam itu lagi.

Beliau juga ingin menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama cucu dan anak-anak saudaranya tambah kenyataan itu lagi.

PKM telah ditubuhkan pada 30 April 1930 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Parti itu dikatakan sebagai parti berbilang bangsa yang pertama ditubuhkan dengan tujuan memperjuangkan kemerdekaan negara.

Atas inisiatif mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu, Datuk (kini Tan Sri) Abdul Rahim Mohd Noor perbincangan dimulakan dengan PKM yang menghasilkan Perjanjian Keamanan yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 di antara PKM, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand di Haadyai, Thailand.

Darshan Singh juga merujuk kepada kenyataan Abdul Rahim yang pernah menyatakan bahawa Chin Peng adalah seorang yang jujur, amanah dan berpegang kepada janji.
-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: