"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jaya Supermarket Menyembah Bumi

Mercu tanda PJ ranap, dua terbunuh
Abdul Rahim Sabri
Seorang lagi mayat ditemui kira-kira jam 10.30 malam ini, menjadikan dua orang disahkan terkorban apabila bangunan lama pusat membeli-belah utama Jaya Supermarket setinggi enam tingkat di Seksyen 14, Petaling Jaya ranap selepas operasi meruntuhkannya bertukar tragedi petang tadi.

jaya supermarket building collapse 280509 03Bangunan tersebut, yang ingin diganti dengan projek pembinaan baru, masih lagi terus runtuh sekeping demi sekeping.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Soiman Jahid berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.08 petang tadi megenai satu bangunan enam tingkat telah runtuh.

Katanya, mayat pertama ditemui petang tadi, bersama dua lagi  yang cedera dan dikejarkan ke hospital.

Menurutnya, dua mangsa yang cedera itu ditemui pada jam 5.45 petang dan 6 petang.

jaya supermarket building collapse 280509 02Manakala mangsa ketiga ditemui pada jam 6.44 petang dan disahkan meninggalkan dunia.

Soiman berkata, berdasarkan maklumat, masih ada lima lagi mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan tersebut.

Anggota bomba dan penyelamat, katanya, sedang berusaha untuk mengesan dan mengeluarkan mereka.

Beliau berkata, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti mangsa-mangsa terbabit.

Soiman berkata, bangunan lama enam tingkat itu yang sedang dalam proses dinaik taraf.

jaya supermarket building collapse 280509 01Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, ACP Junaidi Mohamad berkata, mangsa yang terbunuh dan dua lagi yang cedera itu adalah warga Indonesia.

Sehingga jam 9 malam tadi, enam orang masih terperangkap dalam runtuhan bangunan tersebut.

Operasi menyelamat itu membabitkan 30 anggota bomba, 15 anggota penyelamat, 30 anggota RELA, 30 anggota Pertahanan Awam dan 50 anggota polis.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang turut ke tempat kejadian malam ini, memberitahu media bahawa mayat kedua itu ditemui pasukan penyelamat pada kira-kira jam 10.30 malam ini.

Menurutnya, pasukan penyelamat juga masih meneruskan usaha mengesan dan menyelamat lima lagi yang terperangkap dalam runtuhan bangunan tersebut.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Timbalan Pengarah Iktisas Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Jamiyah Hassan berkata, mangsa yang maut itu dikenali sebagai Maskor, 28, manakala yang cedera pula ialah abang Maskor yang dikenali sebagai Suryano, 32, dan Sale, 48.

"Dua mangsa yang cedera itu sekarang berada dalam keadaan stabil," katanya.
    
Dr Jamiyah berkata 45 anggota paramedik dari tiga buah hospital
iaitu PPUM, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur berada dilokasi kejadian untuk memberikan bantuan perubatan.
    
Seorang saksi, Syed Mohammad Aidid Syed Ahmad Aidid, 41, pula berkata beliau mendengar satu dentuman kuat seperti guruh ketika kejadian itu berlaku.

"Bangunan itu betul-betul di sebelah kiri saya. Saya nampak habuk. Batu-batu jatuh di atas kereta saya macam hujan batu," katanya kepada Bernama.
    
Syed Mohammad Aidid berkata beliau baru meninggalkan bangunan Digital Mall yang terletak bersebelahan bangunan yang runtuh itu untuk ke pejabatnya di Phileo Damansara.
    
"Di hadapan saya ketika itu terdapat sebuah kereta Proton dan seorang perempuan sedang melalui kawasan itu. Namun semua mereka sempat menyelamatkan diri. Saya pula terus pecut, bagaimanapun kereta saya di bahagian kiri dan atas kemek. Waktu itu saya rasa amat takut dan sempat berdoa agar tidak ditimpa
sebarang kejadian buruk," katanya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: