"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pusat boleh contohi Kelantan tangani gejala sosial

Muhammad Yusri Amin  

KOTA BHARU, 27 Mei (Hrkh) - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mejar Jen (B) Dato' Jamil Khir Baharom disaran mencontohi Kelantan melaksanakan program Bulan Sembahyang.

Ini kerana pelaksanaan program berkenaan yang diadakan setiap bulan Rejab mampu menjadi benteng menangani gejala sosial khususnya di kalangan remaja.

Pegawai Dakwah Halaqat Kota Bharu, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi berkata, kempen Bulan Sembahyang biar pun dipandang remeh sesetengah pihak, namun ia ternyata berkesan mengembalikan golongan remaja kepada kehidupan beragama.

"Saya minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baru supaya mencontohi apa yang telah dilaksanakan di Kelantan sejak lebih 10 tahun lalu," katanya pada majlis penyampaian dividen Ladang Rakyat di Gelanggang Seni, baru-baru ini.Image

Beliau yang juga Pegawai Pembangunan Masyarakat Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat berkata, hanya melalui agama sahaja kaedah paling berkesan menangani masalah sosial yang berlaku sekarang.

Kempen Bulan Sembahyang dianjurkan kerajaan Kelantan setiap tahun. Sebanyak RM1 juta diperuntukan bagi menjayakan program tersebut yang diadakan di seluruh Kelantan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi berkata, pihaknya mewujudkan Tabung Tindakan Kebajikan Peserta Ladang Rakyat di setiap kawasan Dun pada Julai 2007.

Katanya, geran pelancaran disediakan sebanyak RM1,000 bagi setiap Dun dan peserta pula menyumbangkan RM10 setiap bulan ke dalam tabung itu bagi mengadakan pelbagai aktiviti kebajikan.

"Hasil kejayaan tersebut Ladang Rakyat bercadang menubuhkan koperasi bagi membolehkan lebih banyak lagi program dilaksanakan terutamanya berkaitan ekonomi.

"Cadangan penubuhan koperasi telah dipersetujui ahli lembaga Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat dan mesyuarat agung penubuhan koperasi dijangka diadakan pada Ogos depan," katanya.

Beliau juga berkata, program pasca graduasi ekonomi dilaksanakan secara menyeluruh pada Januari lalu di mana projek pertama membabitkan tanaman serai dilaksanakan di Dun Galas, Dabong, Gual Ipoh, Bukit Panau dan Nenggiri.

Menurutnya peserta Ladang Rakyat yang menyertai pojek tersebut telah menerima elaun bulan pertama sebanyak RM800 seorang.

Manakala projek lain yang akan dijalankan termasuk ternakan ikan keli, pemprosesan hasil ternakan, pertanian dan tanaman tropika.

Dr Nazmi berkata, projek tersebut diusahakan di kawasan seluas 10 ekar melibatkan 10 peserta di setiap Dun.

Tiada ulasan: