Kerana kekurangan itu (tidak membuat tinjauan menyeluruh, adil dan bebas) menyebabkan rencana itu mirip kepada sebuah propaganda murahan untuk pihak tertentu dengan tujuan tertentu pula. Melihat kepada ketidaktelusan dan kebebasannya mungkin rencana itu disengaja dikarang begitu kerana dibayar! Apabila Zulkiflee mengatakan dia telah membuat tinjau mengenai kondisi sebenarnya di selatan Thai ia sangat meragukan jika dibanding dengan apa yang saya dapatkan.
Apakah benar beliau membuat kajian dan tinjauan di selatan Thai atau hanya mendapat maklumat di dalam restoran tom yam atau mendengar cerita dalam land roverkeselamatan sambil pusing-pusing bandar di selatan Thai itu?
Daripada apa yang digambarkan dalam rencana itu ia berbeza dengan apa yang dipandang mata umum mengenai selatan Thai pada masa ini. Ada perlindungan fakta dan suasana sebenar tidak didedahkan dalam tulisan itu. Sepantasnya rencana sebegitu hanya layak untuk dibacakan kepada orang buta yang tidak mempunyai keupayaan untuk melihat sendiri apa yang berlaku di selatan Thai sejak empat tahun lalu hingga ke kini. Bagi mereka yang celik dan menjejakkan kaki ke Pattani betapa rencana itu sebuah dendangan murahan untuk menyeronokkan hati pihak tertentu saja.
Rencana itu berat sebalah. Iya bahaya. Kerana beberapa kesan atau mesej yang ditinggalkan oleh rencana berkenaan tidak wajar dikemukakan. Apa lagi dalam konteks hubungan serumpun dan segama rasanya ia tidak membela sebaliknya memberi kesan buruk kepada apa yang berlaku kini.
- Menggambarkan masyarakat Islam di selatan Thai dalam keadaan biasa dan tidak menghadapi apa-apa tekanan dari mana-mana pihak dan hidup aman dan damai.
- Memberi gambaran kejahatan puak pemisahan yang berjuang untuk memerdeka semula tanahair mereka.
- Kekacauan yang berlaku di Thai kini langsung tidak ada kena mengenakan dengan kerajaan.
- Rakyat Islam Thai membenci kekacauan yang berlaku kini yang dilakukan oleh orang Islam sendiri.
Gambaran ini sungguh menyesalkan. Orang Pattani mungkin marah sehingga boleh bertindak membakar akhbar berkenaan yang tidak peka dan prihatin kepada nasib mereka. Apakah benar seperti mana yang digambarkan oleh wartawan ini dalam tulisannya mengenai situasi di selatan Thai itu?
Kebetulan saya juga baru pulang dari selatan Thai dan sempat meninjau ke beberapa buah daerah sambil menziarahi sanak saudara di sana. Seperti mana yang saya catatkan dalam blog sebelum ini, keadaan di sana amat berbeza dengan masa-masa lampau. Kejadian jenayah, perbalahan di selatan Thai berlaku sejak berabad lalu. Namun suasannya tidak separah hari ini. Paling ketara ialah kebanjiran tentera di selatan Thai. Apakah keadaan ini tidak terpandang oleh penulis rencana berkenaan?
Hari ini tentera berada di mana-mana saja. Sepanjang jalan mereka mengawal keadaan. Sekatan jalan raya diadakan setiap satu km, di hadapan sekolah, masjid, kuil Budha dan simpang-simpang jalan di kampung. Apakah maksud gambaran ini? Kenapa tentera Thai perlu berbaris di setiap jalan. Apakah ini tanda kedamaian dan kemakmuran. Apakah keadaan ini disukai oleh penduduk wilayah berkenaan? Ia seharusnya ditinjau oleh Zulkiflee.
Hanya memetik khutbah yang dibaca khatib yang menyeru supaya bersatu atas nama Islam dan janganlah terpengaruh dengan situasi dan usaha untuk memecah belahkan rakyat Pattani, ia tidak memberi gambaran menunjukkan orang Melayu Pattani senang dengan suasana yang wujud di selatan Thai hari ini.
Apa yang berlaku di sekitar masjid Jamek Pattani itu bukan menggambarkan perasaan keseluruhan orang Pattani. Suara dari mimbar masjid itu bukan menunjukkan luahan perasaan masyarakat Islam di Pattani. Masjid itu sendiri dibangunkan dengan kewangan Raja Siam, di mana kekok bagi khatibnya untuk membaca khutbah yang menyuarakan perasaan rakyat Pattani yang sebenarnya.
Menurut penulis itu dia juga diberitahu mengenai apa yang berlaku sekarang ini daripada pihak tertentu yang merupakan orang dipihak kerajaan. Sudah tentu mereka tidak berkata benar dan memberi maklumat sebenarnya mengenai apa yang terjadi. Gambaran yang diperkatakan ialah gambar indah belaka.
Unuk menghidangkan sebuah rencana yang mempunyai gagasan besar begitu ia tidak sepatutnya berusmberkan kepada bekas pegawai kerajaan seperti bekas Panglima Tentera Thailand Sonthi Boonyaratglin yang dipetik penulis memberi tahu umat Islam tidak berasa kehidupan mereka terancam.
Dari ukuran manakah Sonthi Boonyaratglin boleh berkata demikian? Apakah dia menyelami ke dalam dada setiap umat Islam? Seperti juga di Malaysia, di Thai ada orang Melayu yang dibayar gaji oleh kerajaan dan ada yang mencari makan sendiri. Mereka yang menerima gaji akan memuji kerajaan dan mengeji perjuangan bangsanya sendiri dan melindungi fakta sebenarnya.
Zulkiflee juga ada menyebut mengenai janji Bangkok untuk mencurah kewangan bagi pembangunan di Selatan Thai. Janji sebegini sudah lama kedengaran. Apa yang ada di selatan Thai. Apakah pembangunan ekonomi yang dijanakan untuk rakyat di selatan Thai? Zulkiflee elok masuk ke kampung dan melihat sendiri corak kehidupan masyarakat Pattani yang relatif miskin dan daif. Di tepi-tepi jalan menuju ke kampung gambaran sebenar masyarakat Pattani akan dapat disaksikan.
Tahukah beliau sudah hampir dua abad Thai menguasai dan menakluk Pattani? Tempoh itu bukan satu masa yang pendek. Kalau betul Bangkok ingin majukan Pattani perubahan kini kini sudah dapat disaksikan. Mungkin pemberontokan dan rasa tidak puas hati ke atas Bangkok tidak akan meruap seperti hari ini. Namun apa yang dijanjikan itu jelas kosong belaka.
Harus juga difahami keperluan bagi rakyat empat wilayah itu bukan saja pembangunan tetapi lebih penting ialah memaknakan kehidupan mereka atas nama bangsa yang beragama Islam. Sebagai mana juga bangsa Siam mereka juga mahu mendaulatkan bangsa mereka dan agama mereka. Penindasan ke atas hak-hak asasi mereka mengenai bangsa dan agama ini ini jelas berlaku.
Selaku penulis Zulkiflee sepatutnya membuat tinjuan menyeluruh, dapatkan pandangan semua pihak yang bebas dan bukan menjadi agen kepada mana-mana pihak. Cara itulah baru penulisan yang bertanggunjawab dapat dihasilkan.
Saya tidak fikir penulis melupai tragedi pembunuhan beramai-ramai di Takbai, tragedi dalam masjid Krisek menyebabkan dan paling baru ialah penembakan dalam masjid di kampung Air Tempayan dekat Golok Jun lalu.
Siapakah yang lakukan angkara ini semua? Sebelum membuat rumusan, puak lain yang berlaku zalim, penulis sepatutnya menyelidik siapa pelakunya. Dalam hal ini kena guna akal sendiri dan jangan bersandarkan penjelasan pihak berkepentingan yang sudah tentukan akan ditudung fakta sebenarnya.
Di Takbai siapa yang menembak dan menangkap orang yang berhimpun di pejabat kerajaan? Seramai 85 maut dalam kejadian itu. Siapa yang memanggil orang ramai berhimpun kemudian memerangkapnya di situ sebelum ditembak? Apakah ianya ditembak oleh pihak pemisah atau mana-mana pihak lain? Kaji dan selidik juga kenapa kejadian itu berlaku?
Begitu juga serangan dan tragedi di dalam masjid Krisek menyebabkan 32 terkorban dan 16 ditangkap. Siapa yang menembak jemaah dalam masjid itu? Apakah dilakukan oleh puak pemisah atau taukeh dadah yang kononnya ingin menimbulkan huruhara demi perniagaan mereka? Yang pastinya semua yang terbunuh bukan rakyat tempatan dan yang menembaknya ialah tentera Thai.
Tuduhan penulis kepada pejuang pemisah sebagai munafik juga sangat kesat. Kita tidak hafal mengenai sejarah perjuangan rakyat Pattani hampir 200 tahun lalu. Jika kita mengetahuinya mungkin tuduhan rapuh itu tidak akan keluar dari mulut orang yang mengakui Melayu dan mengamalkan ajaran Islam.
Kesimpulannya rencana Zulkiflee Bakar itu bukan menunjukkan realiti sebenar nasib dan perjuangan rakyat Pattani dalam mendaulahkan agama, bangsa dan tanahair mereka, tetapi ia sebuah dongengan yang indah namun realitinya tetap pahit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan