"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ekonomi Kelantan: Awang Adek belakangi laporan EPU

M Faqih
KOTA BHARU, 1 Mac:
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dianggap membelakangi laporan Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (EPU) apabila mendakwa kutipan cukai di Kelantan paling rendah di negara ini.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah (gambar) berkata, indikator kutipan cukai langsung dan tidak langsung tidak boleh dijadikan asas bagi mengukur taraf hidup rakyat Kelantan.

Ini kerana, katanya laporan EPU bagi empat tahun berturut-turut menunjukkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan mengatasi peringkat persekutuan.

Misalnya KDNK Kelantan 2006 sebanyak 5.9 peratus, sedangkan peringkat negara 5.8 peratus, 2007 - Kelantan 7.5 peratus, negara 6.2 peratus, 2008 - Kelantan (5.1 peratus), negara 4.6 peratus dan 2009 – Kelantan (-2.6 peratus), negara ( -3 peratus).

“Begitu juga jumlah kemiskinan tegar di Kelantan menurun kepada 4.1 peratus pada 2008 berbanding 7.2 peratus pada 2007.

“Manakala dari jumlah miskin tegar Kelantan sebanyak 0.6 peratus sedangkan negara 0.8 peratus. Ini bermakna peratus negeri dan pusat tidak jauh berbeza,” katanya menjawab soalan Mohamad Awang (PAS–Gual Periuk) pada persidangan Dun hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan mendakwa kutipan cukai langsung dan tidak langsung melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kastam di Kelantan paling rendah di negara ini.

Anuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat berkata, kutipan cukai melalui LHDN dan Kastam tidak boleh menjadi parameter sebenar bagi mengukur tahap ekonomi rakyat Kelantan.

Kata beliau, sebahagian besar rakyat Kelantan terbabit dalam perniagaan dan ramai di kalangan mereka tidak terlibat dengan pembayaran cukai kepada LHDN kerana ada rebet tertentu.

“Lebih ramai rakyat Kelantan berniaga daripada makan gaji dengan kerajaan. Jadi ramai yang terlepas daripada membayar cukai pendapatan kerana ada pelepasan (rebet) termasuk bilangan anak ramai.

“Kalau mahu tengok tahap sebenar ekonomi mereka kena tengok kepada jumlah kutipan zakat yang meningkat kira-kira 14 peratus setiap tahun,” katanya.

Misalnya, pada tahun lepas jumlah kutipan zakat sebanyak RM50 juta dan tahun ini disasar meningkat kepada RM66 juta.

Oleh itu, kata beliau bagi memperlihatkan keadilan timbalan menteri terbabit perlu mendapatkan jumlah kutipan zakat di negeri-negeri lain sebelum membuat rumusan tahap ekonomi penduduk Kelantan rendah.

Tiada ulasan: