"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat wajib tolak kerajaan judi dalam PRU ke-13

WAN NORDIN dan NYZA AYUB

KUALA LUMPUR:
PAS mengecam keras tindakan kerajaan yang bercadang untuk membenarkan perjudian sukan berlesen
di Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dicabar mendapatkan pungutan suara rakyat di peringkat nasional.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa semasa ditemui di Parlimen 25 Mac lalu berkata, isu judi telah dibangkitkan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat beberapa kali di Parlimen sebelum ini.

"Apa yang diistilahkan dalam istilah percukaian ialah 'sin tax' yang mana banyak jadi sumber utama bagi negara, persoalannya apakah dasar itu akan diteruskan kerajaan hari ini sebab cukai yang jelas bercanggah dengan Islam sedangkan agama persekutuan bagi negara kita ialah Islam,

Ini menunjukkan bahawa konsep Islam yang dilaksanakan dalam negara kita atau yang difahami dalam perlembagaan amat terbatas penafsirannya kepada perkara-perkara yang amat terbatas," katanya lagi.

Jadi ujarnya, apabila ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendedahkannya di dewan ini dengan fakta, tujuannya ialah mahu maklumkan kepada rakyat tentang penyelewengan yang telah berlaku.

Selain itu ahli Parlimen Pakatan Rakyat juga mahu kerajaan memberi respons segera terhadap isu judi ini, dalam menggesa perubahan kepada perkara mungkar ini, kata Nasharudin yang juga ahli Parlimen PAS Bachok.

Tetapi ujar Nasharudin, beliau tidak nampak sebarang tanda atau keazaman kerajaan Umno/BN untuk berubah kerana judi adalah sumber pendapatan mereka.

Justeru beliau menyeru kepada rakyat untuk mengubah kerajaan yang bergantung kepada hasil judi ini kerana jelas judi adalah haram dalam Islam, selain ia ditolak agama lain.

Sementara itu jawapan bertulis Menteri Kewangan kepada ahli Parlimen Rasah (DAP) bertarikh 22 Mac 2010 berhubung isu judi mendedahkan, kerajaan menerima jumlah cukai dan duti pertaruhan dari enam syarikat utama judi negara berjumlah, RM 1.9 billion bagi tahun 2009.

Menurut jadual yang dilampirkan, Sports Toto menyumbang RM459,600,452.05; Magnum Corporations RM401,283,257.55; Pan Malaysian Pools RM265,531,593.04; Diriwan Corporation RM21,446,904.92, Sarawak Turf and Equestrian Club RM30,664,302.61 dan Sandakan Turf Club RM21,068,136.73.

Sementara itu terdahulu, dalam sidang media Pakatan Rakyat ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dari PAS mencabar Perdana Menteri , Dato' Seri Najib Tun Razak hadir ke Parlimen menjelaskan pendiriannya yang sebenar mengenai polisinya sebelum membenarkan perjudian sukan berlesen di Malaysia.

Najib dicabar berbuat demikian kerana kesediaan beliau mempertimbang proposal tersebut sempena pertandingan Piala Dunia yang akan diadakan di Afrika Selatan pada pertengahan tahun ini.

Jelasnya, jika benar perkara ini sedang dipertimbangkan oleh kerajaan, amat jelas Najib telah melanggar polisi yang telah dibawa oleh Perdana Menteri sebelum ini, Tun Abdullah Badawi yang menarik balik polisi tersebut sebelum ini.

"Dalam keadaan tedesak kerajaan untuk mencari pendapatan baru, kerajaan gagal dalam menghormati pendirian rakyat di negara ini sehingga tidak mengambil kira tentang kesan impak gejala sosial jika mereka yang berjudi ini tertekan dengan hutang.

"Jika kerajaan ingin meluluskan lesen perjudian sukan, ia disifatkan menggalakkan rakyat untuk terus berjudi dan berhutang. Saya juga mencabar Najib perlu hadir dan jelaskan kepada kami jangan berdiam diri sahaja," tegasnya dalam sidang media di lobi Parlimen pada 25 Mac lalu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ini juga menegaskan, jika Najib betul-betul pemimpin Umno yang kononnya pejuang Melayu-Islam, Pakatan Rakyat mahu beliau dapatkan pungutan suara nasional sebelum menghalalkan perjudian sukan berdaftar di Malaysia,”
Katanya lagi, rakyat khususnya ahli-ahli Umno serta kaum Melayu berhak mengetahui inisiatif terbaru kerajaan kerana amalan perjudian itu membabitkan sensitiviti beragama Islam dan adat resam mereka masing-masing.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan motif di sebalik pertemuan Najib dengan pihak terbabit, Presiden Kumpulan Berjaya Corp. Bhd, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, di luar negara supaya masyarakat Melayu-Islam tidak mengetahui inisiatif Najib itu.

Tambahnya lagi, bukan sahaja Islam mengharamkan amalan judi sama ada berlesen atau haram, malah semua agama sekalipun turut mengharamkan amalan tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail yang turut serta dalam sidang media tersebut menjelaskan sebelum ini semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau telah meluluskan lesen perjudian yang telah dipohon Berjaya Group bagi syarikat Ascot Sport Sdn Bhd dalam perjudian sukan dengan perjanjian selama 20 tahun tetapi permohonan itu telah dibatalkan oleh Tun Abdullah Badawi selepas beliau mengambil alih pemerintahan negara.

"Tetapi tindakan untuk meluluskan permohonan yang telah dibatalkan sebelum itu telah di ambil oleh Najib untuk dibuat pertimbangan semula. Apakah kayu ukur yang digunakan oleh kerajaan dalam membuat pertimbangan dalam meluluskan permohonan tersebut?

"Adakah kerajaan terdesak dalam mendapat sumber kewangan bagi mengisi tabung kewangan negara sehingga tidak merujuk kepada aspek sosial sebelum membuat keputusan, kalau tujuan ini semata-mata maka keputusan itu tidak munasabah,"katanya.

Beliau juga menyelar sikap Najib yang dianggap hanya berani mendedahkan kenyataan itu di luar negara ( di Hong Kong)sahaja tetapi tidak berani mengeluarkan kenyataan pada media di Malaysia keranaa takut untuk berdepan dengan rakyat yang menentang perjudian di Malaysia.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook turut mempersoalkan kenapa Perdana Menteri hendak mempertimbangkan permohonan tersebut, hanya kerana hendak bersaing dengan negara lain.

" Kerajaan sepatutnya meneliti impak besar yang akan timbul kepada rakyat, lebih ramai rakyat akan berjudi dan membuat pinjaman dengan along. Disebabkan pinjaman dengna along itu akan timbul unsur jenayah,"katanya.

Perdana Menteri dikatakan mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara itu semasa menghadiri Persidangan Pelaburan Asia Credit Suisse ke-13 di Hong Kong. Beliau menyatakan Malaysia sedang menilai cadangan untuk meluluskan perjudian sukan di negara ini bagi menjadikan perjudian itu sah dan mempunyai lesen.

Sebelum itu Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa inisiatif tersebut mengakibatkan impak sosial yang tinggi dalam masyarakat.

“Kita lihat ia (perjudian sukan berlesen) dari segi isu (dan) impak yang akan melanda masyarakat kita, khususnya kaum Tionghua sendiri,” jelas beliau.

Pengalaman melihat sendiri realiti dalam keluarga masyarakat Tionghua, perjudian juga mengakibatkan rakyat terjebak dalam budaya memijam duit riba daripada along.

“Khususnya impak (ke atas) kaum muda Tiong Hua, itu masalah besar (apabila) ambil (pinjaman) ‘along’ untuk berjudi dan ada keluarga terpaksa jual rumah (atau) jual kereta untuk selamatkan anak-anak mereka,” beliau menambah.

Memetik suatu kenyataan dari akhbar tempatan beberapa hari lalu, Loke turut bertanya, adakah Najib bercadang menjadikan industri judi salah satu injin untuk memperkasa Model Ekonomi Baru (MEB).

Beliau mempersoal demikian kerana Najib sendiri mengaku bahawa industri perjudian berkemungkinan akan menjadi salah satu bahagian dalam menangani defisit kewangan melalui MEB.

Bercakap dalam kenyataan yang sama di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution pula mempersoal kaedah Najib dan kerajaan untuk menjana pendapatan negara, menggunakan MEB.

“Apakah kayu ukur pertimbangan kerajaan ini semata-mata untuk mengurangkan defisit kewangan dan meningkatkan pendapatan melalui cukai judi,” soal beliau.

Tegas beliau, sekiranya Najib bercadang menjana pendapatan negara melalui hasil cukai perjudian, beliau menegaskan bahawa kaedah tersebut tidak munasabah.

Beliau turut sependapat dengan Dzulkefly dan Loke, inisiatif Najib tersebut seolah-olah mencerminkan beliau langsung tidak mempertimbang impak berantai seperti kebejatan sosial di kalangan rakyat, ekoran penggalakan industri perjudian berlesen tersebut.

Selasa lalu, akhbar The Star melaporkan Ascot Sports Sendirian Berhad, iaitu satu anak syarikat Kumpulan Berjaya telah diberikan konsesi lesen perjudian sukan berdaftar selama 20 tahun oleh Kementerian Kewangan pada era Tun Dr. Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri, tahun 2003 yang lalu.

Melalui industri perjudian tersebut, Malaysia sanggup menerima bayaran sebanyak RM25 juta pada setiap tahun.

Pun begitu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri selepas Dr. Mahathir mengetepikan proposal tersebut.

Tiada ulasan: