"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan hadapkan Anwar ke JK Hak dan Kebebasan Parlimen

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 1 April:
Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan hari ini untuk mengheret Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen Malaysia kerana mengelirukan Dewan Rakyat dengan mengaitkan 1Malaysia dengan One Israel.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini berkata, beliau akan menghantar surat kepada Speaker esok bagi mengusulkan perkara itu dan akan memastikan tindakan diambil dalam masa sepuluh hari.

"Kerajaan telah putuskan bahawa kita akan membawa usul untuk merujuk Permatang Pauh (Anwar) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana telah mengelirukan dewan dengan mengaitkan 1Malaysia dengan Israel," katanya.

Menurutnya juga, kerajaan telah memberi masa kepada Anwar untuk membuat penjelasan berhubung dakwaan itu namun mendakwa Anwar tidak menyatakan bukti kukuh dalam penghujahannya dalam isu itu.

"Setelah mengkaji ucapan beliau, saya dapati beliau tidak menunjukkan bukti kukuh untuk kenyataan beliau itu. Apco sendiri telah mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan Anwar itu," katanya.

Beliau turut mendakwa penjelasan Anwar di Dewan Rakyat semalam tidak berasas.

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ini terdiri daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebagai pengerusi dan enam orang ahli yang dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih dengan seberapa segera selepas dimulakan tiap-tiap Parlimen.

Ahli-ahli lain adalah Datuk Ronald Kiandee Timbalan Yang di-Pertua (BN-Beluran), Razali bin Haji Ibrahim (BN-Muar), Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah), Puan Hajah Nancy binti Shukri (BN-Batang Sadong), Sivarasa a/l K. Rasiah (PKR-Subang) dan Karpal Singh a/l Ram Singh (DAP-Bukit Gelugor).

Berkenaan prosedurnya pula, beliau memberitahu, beliau akan membentangkan usul itu untuk dibahaskan, kemudiannya beliau akan menjawab perbahasan tersebut sebelum proses pengundian dijalankan.

Selepas itu, jawatankuasa akan membincangkan perkara itu samaada bersetuju atau tidak untuk mengambil tindakan terhadap Anwar.

Beliau juga menegaskan tidak akan menjawab sebarang soalan berhubung isu berkenaan dalam sesi penggulungannya pada petang ini.

Tiada ulasan: