"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tugu: PAS syukur Umno henti amalan syirik

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 1 April:
PAS mengucapkan syukur kepada Allah Taala kerana akhirnya Umno/BN mengumumkan akan berhenti melakukan upacara meletakkan bunga dan bertafakur di hadapan Tugu Negara yang jelas perbuatan syirik dan khurafat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, pengumuman Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam membuktikan dakwaan PAS selama ini bahawa perbuatan itu adalah dosa besar Umno kepada Allah adalah benar.

Zahid yang juga Naib Presiden Umno, mengumumkan semalam bahawa upacara memperingati Hari Pahlawan tidak akan dilakukan di Tugu Negara lagi mulai tahun ini dan akan dipindahkan di Putrajaya dalam bentuk majlis yang berbeza.

Idris berkata, PAS tegas menolak amalan meletakkan bunga dan bertafakur di Tugu Negara setiap 1 Julai sempena Hari Pahlawan, dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang berbincang pada 6 hingga 7 Oktober 1987 juga telah mengeluarkan fatwa berhubung isu itu bahawa ianya adalah amalan yang bercanggah dengan Islam dan syirik.

“Rakyat, khususnya kaum Melayu selalu bertanya. Apa beza PAS dan Umno, dua-dua parti yang dipimpin Melayu dan Islam, kenapa tidak boleh bersatu?” katanya yang menghargai pemberhentian amalan khurafat itu.

Justeru, ujarnya PAS berharap, isu Tugu Negara itu membuka mata rakyat bahawa PAS dan Umno memang jelas berbeza walaupun Umno mengaku Islam tetapi mereka jelas menolak syariat Islam yang ditetapkan oleh Allah.

“Isu ini juga jelas membuktikan bahawa Islam dan politik tidak dapat dipisahkan. PAS yakin, Umno akhirnya mengambil keputusan ini setelah tertekan bila mana PAS serius membawa isu ini hinggalah ke pentas politik,” ujarnya lagi.

Menurutnya, walaupun Umno mempunyai biro agama dan menteri agama, tetapi mereka mengambil masa 23 tahun untuk memahami Fatwa Majlis Kebangsaan.

“Hakikatnya perkara ini tidak perlu dibawa ke Majlis Fatwa jika Umno benar-benar memahami Islam dan berjuang atas nama Islam.

“Walaupun Umno bangga mengatakan mereka berjaya membawa syiar Islam dengan wujudnya Tabung Haji, pusat zakat, masjid-masjid besar dan sebagainya, tetapi 23 tahun mereka menafikan fatwa syirik yang dikeluarkan Majlis Fatwa,” katanya.

Jelasnya, Allah sendiri memperingatkan dalam Al-Quran, bahawa semua dosa besar akan diampunkan kecuali syirik dan jelaslah bahawa saranan Majlis Fatwa itu serius dan Umno-BN telah menyesatkan rakyat dengan melakukan upacara syirik itu sejak tahun 1963 iaitu tarikh tugu itu dibina dengan kos RM1.3 juta ketika itu.

PAS, jelasnya menghormati pengorbanan dan jasa pahlawan negara.

Oleh itu, katanya PAS mahu majlis kesyukuran dan tahlil serta memberikan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga pahlawan yang telah gugur menjadi program rasmi sempena Hari Pahlawan, bukannya bertafakur dan membazir duit untuk meletakkan bunga di tugu yang tidak bernyawa itu.

Tambahnya, PAS juga berharap agar Umno menghapuskan semua amalan syirik dan khurafat yang mereka lakukan termasuk amalan menepung tawar dan menabur beras kuning seperti yang dilakukan oleh Datuk Ismail Sabri dalam Majlis Pelancaran Van Umno Bahagian Wangsa Maju, minggu lepas.

“PAS yakin rakyat semakin cerdik dan melihat siapa sebenarnya yang memperjuangkan Islam dan siapa sebenarnya yang mengkhianati Islam,” ujarnya.

Tiada ulasan: