Bersama DR HARON DIN
DATO' saya banyak juga belajar dan mendengar ceramah agama. Tetapi tidak faham berkenaan kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum baligh daripada kalangan orang-orang mukmin. Ke mana mereka di akhirat nanti, ke dalam syurga atau neraka, atau bagaimana. Tolong Dato' jelaskan.
BIBI AISHAH MOHAMAD,
Kluang
MASALAH yang anda kemukakan ini, adalah masalah ketentuan Allah dalam urusan-Nya, yang terkandung dalam istilah qada' dan qadar yang wajib kita beriman dengannya.
Syurga neraka adalah hak mutlak Allah SWT, Dia sahaja yang berhak menentukannya.
Umur manusia semuanya di dalam ketentuan Allah. Ada yang dimatikan waktu kecil dan ada yang dikurniakan umur panjang.
Hikmah di sebaliknya amat banyak, yang semestinya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui hakikatnya.
Kanak-kanak anak orang mukmin yang mati sebelum baligh di syurgakah mereka atau di neraka, adalah masalah yang tidak disemuafakati oleh ulama-ulama semuanya.
Akan tetapi jumhur Ahlissunnah wal jamaah berpendapat, bahawa mereka semua akan masuk ke dalam syurga Allah.
Al-Qadi Abu Ya'la bin al-Farra' meriwayatkan pendapat al-Imam Ahmad bin Hambal, katanya: "Mereka dimasukkan ke dalam syurga. Itulah pandangan yang mahsyur di kalangan ulama-ulama yang muktabar."
Al-Imam an-Nawawi menyatakan ijmak berlaku di kalangan ulama-ulama yang muktabar, bahawa kanak-kanak orang Islam yang mati sebelum baligh, mereka ditempatkan di syurga.
Dalil yang dipegang ialah firman Allah (mafhumnya): "Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya." (Surah at-Thur, ayat 21)
Ibnu 'Abbas r.a dalam tafsiran ayat itu menyatakan: "Sesungguhnya Allah akan mengangkat anak keturunan (zuriat) orang-orang mukmin, bersama ibu bapa mereka di dalam syurga."
Al-Imam Muslim dengan sanadnya, meriwayatkan hadis daripada Abi Hassan katanya: "Saya bertanya Abu Hurairah berkenaan dua orang anak saya yang meninggal dunia sebelum baligh, apakah kamu (Abu Hurairah) pernah mendengar berbicara tentang anak-anak itu?
"Kata Abu Hurairah, Ya, ada saya mendengar, bahawa yang meninggal kecil daripada kalangan anak-anak orang Islam, mereka adalah di dalam syurga bersama ibu bapa mereka."
Itu adalah kurniaan Allah, seolah-olah memberi pengajaran bahawa, mana-mana orang mukmin yang Allah matikan anak mereka ketika masih kecil, kesedihan yang mereka tanggung tidak terperi, kerana kesabaran mereka menerima dan menanggung bebanan yang berat itu, Allah balas syurga kepada mereka, dan anak-anak itu akan menjadi penghibur kepada mereka di dalam syurga nanti.
Tentulah Allah SWT Maha Pengasih dan Maha Penyayang, tidak akan mengazabkan hamba-Nya yang tidak melakukan sebarang kesalahan kepada-Nya.
Malah yang melakukan kesalahan pun Allah SWT akan memaafkan mereka. Inikan pula bayi yang masih kecil, daripada keturunan ibu bapa yang beriman kepada Allah SWT, dan tidak lagi ditaklifkan dengan amal-amal Islam, mereka masih seperti kain putih tiada dosa, maka logiknya mereka tidak diazabkan.
Jika tidak diazab, tentulah mereka dibalas dengan segala kebaikan, dan ditempatkan mereka ke dalam syurga bersama dengan ibu bapa mereka.
Sekian, wallahua'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan