"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hulu Selangor: Akhbar milik Samy Vellu dakwa Subra sabotaj Palanivel

G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 3 April: Ketika MIC berhadapan dengan desakan Umno agar diserahkan kembali kerusi Hulu Selangor, akhbar milik keluarga Presiden MIC mendakwa bekas timbalan presidennya Datuk S. Subramaniam bekerja keras mensabotaj Datuk G. Palanivel daripada diturunkan semula oleh BN.

Subramaniam tewas dua kali berturut-turut di tangan Palanivel yang mendapat restu Datuk Seri S. Samy Vellu.

“Presiden parti (MIC) berhadapan dengan situasi yang amat sukar untuk mengemukakan nama (Palanivel) selaku timbalan presiden untuk bertanding semula.

“Ketika pucuk kepimpinan bekerja keras untuk menangani situasi ini, bekas timbalan presiden dan bekas timbalan menteri Datuk Subramaniam mengambil segala langkah secara terbuka dan bijak untuk memastikan Palanivel tidak diberikan peluang bertanding semula,” kata rencana hampir satu halaman akhbar Tamil Nesan terbitan hari ini.

Terdapat tiga akhbar harian berbahasa Tamil di negara ini termasuk Tamil Nesan.

Palanivel yang tewas pada pilihan raya umum dua tahun lalu bersama Samy Vellu, dinamakan sebagai wakil MIC untuk bertanding semula di Hulu Selangor.

Sementara MIC hanya mengesyorkan nama Palanivel setakat ini, Umno pula menuntut agar kerusi Parlimen Hulu Selangor diserahkan kepada mereka.

Rencana akhbar itu, yang disiarkan di muka akhir Tamil Nesan hari ini mendakwa Subramaniam berazam untuk mematahkan tulang belakang musuhnya meskipun beliau sanggup hidungnya patah.

“Beliau (Subramaniam) begitu berhasrat mahu membalas (dendam) selepas ‘tewas’ sebanyak dua kali dalam pemilihan jawatan timbalan presiden.

Malah Subramaniam kemungkinan beranggapan bahawa jika Palanivel tidak mendapat tiket bertanding ia akan membawa “kelebihan politik” bagi dirinya.

Kata akhbar itu, sekiranya Palanivel mendapat peluang bertanding di sebalik situasi sukar dialami sekarang, Subramaniam dikatakan sedang mengkaji kemungkinan meletakkan calon bebas di Hulu Selangor.

Ia juga menambah, Subramaniam menghimpunkan segala laporan dibawa Utusan Malaysia, Berita Harian dan portal The Malaysian Insider untuk menjayakan “usaha terbaiknya”.

Dengan terlibat dalam kegiatan ini, dakwa akhbar itu lagi Subramaniam terus meletakkan hasrat mahu menjadi presiden MIC.

Tamil Nesan juga mendakwa usaha Subramaniam itu akan berterusan dalam akhbar miliknya Makkal Osai dan media-media lain selepas ini.

Oleh kerana muslihat politik boleh datang dalam apa jua bentuk, kata Tamil Nesan, tindakan menggali kubur bagi calon MIC bukan sesuatu yang baru bagi Subramaniam, yang tewas dalam saingan tiga penjuru kepada Palanivel September lalu.

Akhbar itu juga menambah, Subramaniam telah meminta penyokong-penyokongnya supaya bekerja bertentangan dengan kepentingan calon BN apabila beliau tidak diturunkan sebagai calon pada 1990 dan 2008.

Malah Subramaniam didakwa cuba menjejaskan peluang Samy Vellu mengekalkan kerusi Sungai Siput dua tahun lalu dengan menghantar tokoh-tokoh perniagaan.

Subramaniam walaupun merupakan timbalan presiden sejak 1981 hingga 2006, tetapi melalui “permusuhan” berpanjangan sehingga sekarang.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: