Muhammad Yusri Amin
KOTA BHARU, 3 April: Setiausaha PKR, Saifuddin Nasution tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan Perdana Menteri yang mengenepikan Dewan Rakyat dalam membentangkan Model Ekonomi Baru (MEB), adalah sebahagian dari nasihat firma APCO Worldwide.
Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Machang, APCO sepertimana dijelas kerajaan sewajarnya terlibat dalam sebarang nasihat komunikasi negara khususnya terhadap Datuk Seri Najib Razak bagi menjayakan 1Malaysia.
“Ini yang dicatatkan sebagai antara perkara yang termasuk dalam ruang lingkup Apco,” dakwanya ketika berceramah di Kg Petani, Sering dekat sini malam tadi.
Turut hadir pada ceramah tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri Pachor Dato' Haji Mohd Amar Nik Abdullah yang juga Exco Kerajaan Negeri dan Adun Guchil Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria.
Menjelaskan kemungkinan itu lagi Saifudin berkata, pembentangan di Parlimen sememangnya mendedahkan MEB kepada kritikan dan pertikaian dan Najib cuba mengelak dari keadaan tersebut.
Sikap itu juga katanya menunjukkan pertentangan jelas dengan 'rakyat didahulukan' yang dilaungkan Najib.
“Apa makna ‘dibentang dalam Parlimen’? Dibentang dalam Parlimen maknanya dibuka kepada perbahasan, penilaian, kritikan dan syor serta nilai tambah.
“Tetapi apabila ianya tidak dibentangkan di dalam institusi Parlimen, institusi yang sebenarnya dipilih oleh rakyat, maka itu menunjukkan Perdana Menteri tidak menghayati langsung konsep ‘rakyat didahulukan’," tambahnya lagi.
Beliau juga menjelaskan MEB yang dibentang Najib adalah cedokan dari polisi ekonomi Pakatan Rakyat yang pernah dibentang pada 2008.
Jelasnya, banyak perkara yang dianggap diciplak dari Pakatan Rakyat.
“Itu adalah polisi ekonomi PR yang diulangi Najib dalam MEB, ini termasuk dalam ekonomi yang dibuka kepada amalan Tender Terbuka yang disebut Najib dalam MEB itu.
“Selain itu, polisi meningkatkan daya saing Malaysia, mengikut cara dan polisi PR ialah tidak campur tangan ‘pillar’ demokrasi dalam negara termasuk institusi kehakiman, institusi polis, institusi Peguam Negara, institusi media dan kebebasan media.
Bagaimana pun, kata Saifuddin, sekiranya MEB itu dibangunkan hasil daripada nasihat pakar ekonomi, maka ianya kelihatan ketinggalan oleh kerana idea itu telah pun dipersembahkan PR seawal 2008 lagi.
Selasa lalu, Najib membentangkan MEB di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Tindakan tersebut dikritik hebat pembangkang yang mendakawa ianya sebagai mengenepikan Parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan