Najib berkata demikian ketika diwawancara oleh Al-Jazeera menerusi rancangan101 East, malam semalam oleh wartawan Fauziah Ibrahim sempena genap setahun beliau menerajui Malaysia.
Menurut Najib adalah tidak benar PERKASA tidak akan menyokong Umno kerana sebahagian besar ahlinya sedar bahawa hanya parti itu yang mampu mempertahankan kepentingan Melayu dan pada masa yang sama menyatukan negara.
“Umno adalah parti yang kukuh dan ditubuhkan dengan asas yang mantap. Umno mampu berdepan dengan PERKASA ataupun kumpulan lain," jelasnya.
“1 Malaysia adalah semangat kekitaan yang kita adalah satu masyarakat, satu negara. Ia dicapai melalui perubahaan minda.
"Dalam perkataan lain, kita bertolak-ansur sesama kita dan bertoleransi berhubung perbezaan bangsa dan agama. Tetapi itu peringkat permulaan.
“Seterusnya, ialah menerima perbezaan itu. Kita menerima perbezaan itu sebagai sesuatu yang baik untuk negara ini.
“Kemudian adalah berkaitan sistem nilai kita dari segi minda dan akhirnya jika kita menerima semua itu, maka kita akan meraikan perbezaan berkenaan. Ini bererti kita selesa dengan hakikat bahawa kita adalah masyarakat berbilang bangsa dan agama,” jelas Perdana Menteri dengan panjang lebar.
Bagaimanapun apabila ditanya wartawan, mengapa selepas lebih 50 tahun negara mencapai kemerdekaannya, - kini rakyat perlu diajar bagaimana untuk hidup dengan harmoni, Najib menjadi tidak selesa.
Najid kemudiannya diasak dengan soalan bagaimana dia sebagai ketua parti yang memperjuangkan hak, kepentingan dan keperluan Melayu tetapi pada masa yang sama cuba mempelopori agenda untuk menyatukan Malaysia.
“ Ia bukan zero-sum game,” jawabnya ringkas tetapi dtempelak Fauziah dengan dakwaan jawapan Perdana Menteri itu sesuatu yang ironi.
Najib mengulangi: “Ia bukan zero-sum game. Ia adalah kenyataan kerana apabila kita perjuangkan kepentingan Melayu, ia bukan bererti bukan-Melayu dipinggirkan. Malaysia mempunyai sumber negara yang mencukupi untuk membantu semua bangsa di negara ini. Dan saya yakin berdasarkan semangat dan falsafah 1Malaysia, semua rakyat mempunyai hak mereka,” jelasnya lagi.
Al Jazera kemudiannya mengajukan kepada Najib sama ada dia adalah Melayu terlebih dahulu dan rakyat Malaysia selepas itu.
“Secara teknikal, jika bercakap mengenai perlembagaan, saya adalah Melayu tetapi saya selesa menjadi Melayu dalam masyarakat Malaysia. Dan saya mahu semua berusaha menjadi masyarkat 1Malaysia. Tetapi saya bangga menjadi Melayu. Saya juga bangga yang saya seorang Muslim. Bagaimanapun hakikat bahawa saya bangga sebagai Melayu dan Muslim tidak bermakna saya tidak boleh mendampingi yang lain.”
Najib juga menafikan bahawa dia akan meminda perlembagaan untuk menyesuaikannya dengan 1Malaysia kerana 1Malaysia didirikan atas perlembagaan sekarang yang melindungi hak orang Melayu.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan