"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan salahkan rakyat jika polis dipandang negatif

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 1 April:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa untuk tidak menyalahkan Pakatan Rakyat (PKR) sekiranya rakyat kebelakangan ini begitu memandang serong kepada institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (gambar), persepsi serong tersebut sebenarnya disedari oleh rakyat sendiri.

"Bukan kami yang mengawal persepsi (negatif terhadap PDRM), semua itu (adalah) persepsi rakyat sendiri,” katanya ketika mencelah penggulungan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Dewan Rakyat, petang ini.

Tian Chua yang juga Ketua Strategik PKR berkata, persepsi buruk tersebut berlaku ekoran berlakunya beberapa kes kematian di dalam lokap.

“Tidak cukup dengan itu, kaedah polis menyiasat kes-kes tersebut menebalkan lagi persepsi negatif rakyat kepada polis.

"Misalnya, seorang lelaki seperti kes (mendiang) A. Kugan yang mati di lokap, tetapi kes-kes kematian itu disiasat sendiri oleh polis," katanya.

Maka, siasatan tersebut, menurut pandangan Tian Chua adalah tidak mencerminkan tahap integriti PDRM.

Dalam pada itu, beliau turut meminta Hishammuddin supaya menjelaskan insiden tembakan rambang yang menimpa Norizan Salleh pada Oktober lalu.

Beliau juga meminta Hishammuddin memberi jaminan bahawa kredibiliti PDRM masih boleh diperbaiki.

Hishammuddin kemudiannya menjelaskan bahawa mangsa ditembak kerana disyaki penjenayah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, kereta yang dinaiki Norizan bersama empat rakannya disyaki kereta curi.

Tian yang bangun mencelah mempersoalkan tindakan polis menyepak rusuk mangsa, selepas mengeluarkannya yang ketika itu cedera parah akibat ditembak polis.

Tiada ulasan: