Memorandum tersebut telah diserahkan kepada Najib yang juga presiden Umno dan pengerusi BN pada 30 Mac lalu.
Ia diserahkan oleh naib ketua Umno bahagian tersebut, Datuk Adnan Buyong.
Ketika dihubungi, Adnan mengesahkan perkara itu dan berkata beliau telah menyerahkan memorandum melalui seorang pegawai perdana menteri.
Katanya, ia merupakan memorandum bersama dari 54 pengerusi jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung persekutuan (JKKP) di Hulu Selangor, yang antaranya ketua Umno cawangan.
"Dalam memorandum itu, kita menyuarakan tentang sejarah kerusi tersebut, perasaan dan harapan (akar umbi) supaya kerusi itu dikembalikan kepada Umno," katanya.
Penghantaran memorandum tersebut dilihat sebagai langkah serius dan bersungguh-sungguh Umno bahagian untuk mendapatkan kembali kerusi tersebut yang kini ditandingi oleh calon MIC.
Kerusi parlimen itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, 71, akibat barah otak Khamis lalu.
Zainal Abidin memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 2008 selepas menewaskan calon BN dari MIC, Datuk G Palanivel.
Parlimen Hulu Selangor mempunyai 63,539 pengundi dengan 53.9 peratus Melayu; Cina (26.7 peratus) dan India (19 peratus).
Kesemua tiga kerusi DUN dalam parlimen Hulu Selangor - Kuala Kubu Bharu (MCA), Batang Kali (Umno) dan Hulu Bernam (Umno) dikuasai oleh BN.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan