"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menantu Sudin Ajaib didakwa 5 Mei

KOTA BARU, 1 April: Lelaki yang ditahan polis kerana didakwa berkahwin dengan budak perempuan bawah umur baru-baru ini akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah 5 Mei depan.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Mohd Abdul Aziz Mohd Noor berkata lelaki yang juga menantu kepada Shamsuddin Che Deraman yang diburu polis kerana terbabit dalam kes yang sama, akan didakwa atas beberapa pertuduhan membabitkan Enakmen Keluarga Islam Negeri. Kelantan kerana berkahwin tanpa kebenaran pihak berkuasa agama Islam.

Menurutnya, pihaknya sedang menyiapkan kertas pertuduhan setelah pegawainya mengambil keterangan daripada lelaki terbabit minggu lepas.

“Berdasarkan laporan daripada kenyataan yang diambil pegawai kami, lelaki yang dikenali sebagai ‘Ustaz Azhar’ itu akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah Kota Baru, 5 Mei ini,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu kini, masih dalam tahanan pihak polis untuk penyiasatan berhubung kes itu.

Mohd Abdul Aziz berkata pegawainya telah menemui “Ustaz Azhar” di Balai Polis Kota Baru, sehari selepas dia dilaporkan ditahan oleh polis.

Suspek berumur 33 tahun itu ditahan di Stesen Keretapi Pasir Mas pada 23 Mac selepas gerakan mengesan dilancarkan dengan kerjasama polis.

Lelaki terbabit dinikahkan oleh Shamsuddin atau Sudin Ajaib dengan anaknya berumur 11 tahun, sementara Sudin sendiri turut menikahi seorang kanak-kanak berumur 10 tahun.

Sudin kini sedang diburu polis setelah menghilangkan diri.

Mohd Abdul Aziz berkata Azhar akan dirujuk kepada Mahkamah Syariah untuk tindakan lanjut.

-Bernama-

Tiada ulasan: