"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lagi penerbit pro-rakyat RTM dihentikan

RTM2 sekali lagi terjebak dengan tindakan kontroversi dengan tidak memperbaharui kontrak penerbit Tan Ean Nee - satu langkah yang dilihat sebagai usaha menyingkirkan penerbit kanan rancangan dokumentari 'Galeri Mandarin Nasional'.

Langkah itu dilihat bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum ini RTM juga mengambil tindakan yang sama ke atas penerbit kanan Chou Z Lam pada Mei lalu. Penerbit itu kemudiannya secara terbuka mendakwa ada campur tangan politik dalam rancangan ehwal semasa yang diterbitkan.

Adalah dipercayai pasukan penerbitan rancangan itu kini tinggal seorang sahaja selepas kontrak Chou dan Tan (kiri) tidak diperbaharui.

"Kontrak saya berakhir pada 31 Julai lalu dan RTM tidak memperbaharuinya,” kata Tan ketika dihubungi
Malaysiakini semalam.

Menurut Tan, dia dimaklumkan berhubung keputusan itu melalui jabatan sumber manusia menerusi sepucuk surat yang tidak menyatakan alasan kontraknya tidak dilanjutkan.

"Oleh kerana kontrak rakan-rakan yang lain telah diperbaharui, saya bertanyakan hal itu kepada penyelia saya Yap Shy Chuan. Hanya ketika itu, saya diberikan surat berkenaan,” katanya.

Menurut Tan, selepas menerima surat berkenaan, beliau mengemas barangan peribadinya dan meninggalkan RTM tanpa mendapatkan penjelasan daripada jabatan sumber manusia.

Tan juga enggan mengulas antara alasan yang mungkin menyebabkan kontraknya tidak diperbaharui. Sebaliknya beliau mencadangkan perkara itu dirujuk kepada Yap.

Yap, bagaimanapun enggan mengulas apabila dihubungi
Malaysiakini.

Dia dipercayai adalah anggota MCA dan dilantik Mei lalu oleh RTM bagi memantau semua rancangan tempatan berbahasa Cina yang disiarkan oleh stesen kerajaan itu.

Sebelum ini, RTM juga telah mengambil keputusan untuk tidak menyiarkan dua dokumentari yang diterbitkan oleh Chou dan Tan.

Chou adalah penerbit dokumentari sembilan siri yang memaparkan impak negatif terhadap penduduk pribumi di Sarawak yang dipaksa berpindah berikutan pembinanaan empangan Bakun.

Manakala dokumentari Tan pula memfokus kepada rintihan penduduk di Kampung Baru Rawang yang membantah pembinaan menara kabel bervoltan tinggi di kampung mereka oleh Tenaga Nasional Berhad.

'Galeri Mandarin Nasional' ke udara selama 10 minit bermula jam 12.20pm daripada Isnin hingga Jumaat, iaitu sebaik sahaja berita tengahari berbahasa Cina berakhir.

Timbalan Menteri, Penerangan, komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang pernah memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa tiada campurtangan politik dalam rancangan ehwal semasa yang diterbitkan oerh stesen kerajaan itu.

Tiada ulasan: