Perpaduan PAS-Umno, mufti tak mahu ulas
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata, beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai isu melibatkan pertemuannya dengan pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali.Katanya, beliau bertindak demikian memandangkan, Hasan tidak mahu mengakui bahawa pertemuan yang diadakan pada Mei lalu itu sememangnya bertujuan membincangkan kerjasama politik PAS-Umno.
Hasan sebelum ini berkeras bahawa pertemuan lebih dua bulan lalu itu tidak dilakukan bagi membincangkan kemungkinan kerjasama berkenaan.
"Dah dia tidak mahu mengaku buat apa saya ulas lagi. Sudahlah," kata Harussani ketika ditanya pendiriannya berhubung pertemuan tersebut.
Tambahnya, beliau berpegang dengan kenyataannya sebelum ini, bahawa pertemuan itu sememangnya dilakukan bagi tujuan perpaduan Umno-PAS.
Harussani juga sebelum ini dilaporkan berkata, beliau dalam kedudukannya sebagai seorang mufti tidak akan mengemukakan kenyataan yang bercanggah.
Malah, pemimpin PAS sendiri, dalam satu mesyuarat telah mencabar Hasan supaya mengenakan tindakan saman ke atas Harussani berhubung kenyataannya itu.
Cabaran tersebut dikeluarkan pemimpin PAS memandangkan dakwaan seperti itu dianggap akan memberi implikasi yang serius terhadap perpaduan dalam parti.
Sebelum nama Hasan disebut sebagai individu yang terlibat dalam pertemuan itu, timbul gesaan supaya pemimpin yang mengadakan pertemuan dengan Harussani dipecat.
Biarpun dihimpit dengan pelbagai desakan dari kalangan pemimpin partinya, Hasan bagaimanapun setakat ini dillihat masih berdiam diri dan tidak mengambil apa-apa inisiatif untuk menjelaskan pendiriannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan