Mohd Nor Yahya
LOJING (Gua Musang), 4 Ogos: Tanah Tinggi Lojing yang terkenal dengan kawasan hawa sederhana sejuk mulai esok akan dikenali sebagai Jajahan Kecil Lojing.
Kawasan ini yang terletak berhampiran Cameron Highlands juga terkenal dengan tanaman sayur-sayuran.
Kini semakin pesat membangun selepas siapnya jalan raya timur – barat kedua menghubungkan Simpang Pulai, Perak dengan Gua Musang.
Kawasan berkenaan juga sekarang terdapat Pejabat Tanah dan Jajahan baru, pejabat Jabatan Perhutanan dan beberapa lagi pejabat milik agensi lain.
Kalau sebelum ini untuk sampai ke Lojing perlu melalui Tapah, Perak dan Cameron Highlands, Pahang terlebih dahulu sehingga mengambil masa sehari.
Namun sekarang perjalanannya ke Lojing kira-kira dua jam dari bandar Gua Musang.
Esok satu sejarah akan tercatat apabila Lojing akan diisytiharkan sebagai jajahan kecil oleh Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dengan adanya lebih banyak pejabat kerajaan di Lojing, pembangunan tanah di kawasan ini diharap lebih terkawal.
“Kita perlu memastikan hawa sederhana sejuk di sini terus kekal. Kerajaan negeri tidak mahu akibat pembangunan tidak terancang menyebabkan suhunya berubah.
”Saya sukacita dengan perkembangan yang berlaku sekarang apabila Lojing dinaik taraf menjadi jajahan kecil,” katanya ketika ditemui selepas raptai majlis pengisytiharan jajahan kecil Lojing di sini, hari ini.
Sebelum itu Menteri Besar dan anggota-anggota Exco mengadakan mesyuarat mingguan Exco di sebuah hotel di Cameron Highlands.
Rombongan Menteri Besar dan Exco serta pegawai kanan kerajaan negeri berada di Lojing sejak petang semalam.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, penjagaan alam sekitar cukup penting bagi memastikan cuaca tidak berubah dalam masa panjang.
Difahamkan baru-baru ini kerajaan negeri melantik seorang pegawai tadbir negeri, Nik Ab Rahman Nik Yusof sebagai Ketua Jajahan Kecil Lojing.
Sementara itu dalam perkembangan lain katanya, kerajaan Kelantan akan mengkaji langkah membenarkan perempuan bawah umur 16 tahun berkahwin.
”Islam memang menggalakkan kahwin awal, cuma perlu pemantauan sebagai langkah mengelakkan berlaku krisis rumah tangga dan cerai,” ujarnya.
Kerajaan Melaka semalam dilaporkan memberi kelonggaran bernikah kepada pelajar lelaki bawah umur 18 tahun perempuan bawah 16 tahun bagi mengelakkan pelajar hamil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan