"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PROTES tak akan pohon permit

Penganjur kempen Bantah: Selamatkan Rakyat yang akan mula dijalankan pada 9 Ogos ini berharap pihak polis tidak melakukan sebarang gangguan ke atas program ceramah di Kampung Kerinchi, Pantai Dalam.

Penyelaras Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (PROTES) Dr Hatta Ramli (kiri) berkata, program ceramah itu akan dijalankan di sebuah tapak pasar malam di kawasan tersebut.

Tambahnya, penganjur juga tidak perlu memohon permit bagi menjalankan program berkenaan.

"Kita menganggap tidak perlu mohon permit sebab sememangnya ada aktiviti orang ramai yang berhimpun di situ," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang juga bendahari PAS berkata, parti itu dijangka akan menurunkan naib presidennya Salahuddin Ayub sebagai penceramah.

"Buat masa ini kita masih tunggu nama daripada PKR dan DAP serta anggota PROTES yang lain," katanya.

Selain parti politik, PROTES juga dianggotai kesatuan sekerja dan NGO termasuk Suara Rakyat Malaysua (Suaram), dan Jemaah Islah Malaysia dan Kumpulan Budayawan Bertindak.

Tambahnya, persatuan pelajar seperti Solidariti Mahasiswa Malaysia, Kumpulan Mahasiswa Independent, Budayawan Bertindak and Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia juga akan menyertai program berkenaan.

1,000 dijangka sertai

Jelasnya, kedudukan Kampung Kerinchi yang dekat dengan institusi pendidikan seperti Universiti Malaya menjadikan kawasan itu menjadi tumpuan aktiviti para pelajar.

Kampung Kerinchi juga dipilih bagi lokasi pertama
Bantah: Selamatkan Rakyat memandangkan kawasan itu banyak didiami oleh golongan berpendapatan rendah.

"Kita anggarkan tidak ramai, sekitar 1,000 orang sahaja. Kita harap penduduk yang tinggal di (perumahan) Projek Perumahan Rakyat di sekitar kawasan itu akan sertai program kita," katanya lagi.

Selain ceramah, risalah mengenai kenaikan harga barang juga akan diedarkan kepada masyarakat yang hadir di program tersebut, katanya.

Ceramah berkenaan merupakan pembuka gelanggang bagi kempen protes kenaikan harga barangan, yang dilancarkan pada 28 Julai lalu.

Program anjuran itu menggariskan lima
tuntutan kepada kerajaan sebagai bantahan ke atas kenaikan harga bahan api dan gula pada pertengahan Julai lalu.

Sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi, PROTES mengancam untuk menganjurkan satu perhimpunan besar-besaran sebagai bantahan.

"Pada 14 Oktober kita akan serahkan memorandum kepada perdana menteri di Parlimen sekiranya harga barang masih tidak diturunkan," kata Dr Hatta lagi.

PROTES juga meneruskan rancangan asal untuk menjalankan program jelajah ke seluruh negara dengan menaiki bas bagi mengedarkan risalah kepada rakyat, tambahnya.

Tiada ulasan: