Johari Jaafar
IPOH, 5 Ogos: DAP meminta Kerajaan BN Perak mengemukakan rang undang-undang untuk menetapkan tempoh masa minimum persidangan dewan negeri supaya badan perundangan tersebut tidak dijadikan rubber stamp semata-mata demi memenuhi agenda peribadi sesuatu pihak sahaja.
Demikian ditegaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Remis, Nga Kor Ming (gambar) dalam satu kenyataan medianya di sini semalam.
Beliau melahirkan perasaan kesal dengan tindakan kerajaan negeri hanya bersidang setengah hari untuk meluluskan rang undang-undang perbekalan tambahan yang melibatkan RM80 juta wang rakyat tanpa memberi peluang berbahas yang mencukupi kepada ahli-ahli dewan.
Selasa lalu, BN mengadakan sidang Dewan Negeri cuma satu hari untuk meluluskan enakmen perbekalan tambahan yang menyaksikan Perak mengalami belanjawan defisit yang tinggi RM104 juta.
Persidangan tersebut juga menyaksikan Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin diusir keluar dari dewan kerana tegas mempertahankan hak untuk bersuara untuk rakyat.
Akibat pengusiran tersebut, semua 27 orang ahli dewan dari Pakatan Rakyat mengambil ketetapan meninggalkan dewan sebagai tanda protes.
Nga Kor Ming, yang juga merupakan Setiausaha DAP Negeri Perak berkata, adalah tidak masuk akal bahawa persidangan dewan yang begitu penting hanya berlangsung satu hari sahaja.
Beliau mengutuk keputusan Menteri Besar BN, Datuk Seri Dr Zamry Abd Kadir yang enggan bersidang empat hari seperti mana yang diminta oleh Pakatan Rakyat supaya semua ahli dewan diberi peluang untuk berucap.
“Berani kerana benar, takut kerana salah. Jika tidak buat salah, mengapa BN begitu takut mendengar suara rakyat dari Pakatan Rakyat,” jelasnya.
Menurutnya lagi, adalah tidak munasabah apabila selaku Ketua Pembangakang Dewan Negeri, Datuk Seri Nizar hanya diberi masa 15 minit oleh Datuk G Ganesan untuk berucap dalam membahas rang undang-undang yang melibatkan wang RM80 juta.
Semua ahli dewan lain pula hanya diberi masa 10 minit di mana amalan kuku besi sedemikian adalah bertentangan dengan prinsip asas sistem demokrasi berparlimen, tegasnya.
“Parlimen mengambil masa 40 hari berdebat untuk meluluskan bajet, tetapi sidang Dun Perak cuma satu hari sahaja, saya percaya ini satu lagi rekod dunia.
“Sepanjang masa persidangan, microphone Aun Pakatan ditutup, media diletak dalam bilik berasingan dan dikurung di atas bangunan seperti akuarium, seluruh dewan dikerumuni oleh anggota polis, kini dewan negeri sudah tidak dapat berfungsi dan demokrasi juga terkubur dalam Negeri Perak berikutan rampasan kuasa,” katanya lagi.
Mengikut konvensyen Parlimen dan amalan biasa, Ketua Pembangkang sentiasa diberi penghormatan dan masa yang secukupnya untuk berhujah.
Sebagai contoh, katanya Lim Kit Siang pernah berbahas selama lebih 10 jam di Dewan Rakyat ketika beliau menjawat jawatan Ketua Pembangkang Parlimen tetapi di Perak, ia hanya 15 minit sahaja.
Beliau juga menegur tindakan kerajaan negeri membenarkan pihak kurang bertanggungjawab menggantungkan sepanduk mengecam pembangkang dengan perkataan kejam di perkarangan bangunan kerajaan negeri.
Tindakan sedemikian menunjukkan penyokong BN adalah cetek pemikiran dan kurang matang, katanya.
Demi membela hak bersuara dan memastikan dewan perundangan berfungsi secara sihat, beliau menggesa supaya semua kerajaan negeri mencontohi Dewan Rakyat, menetapkan had minimum waktu bersidang, supaya institusi perundangan dapat memainkan peranan memeriksa kuasa eksekutif yang diketuai oleh kerajaan negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan