AMPANG: Melampau apabila seorang pengawal keselamatan gila seks tergamak cuba mencabul seorang isteri malang selepas menyedari suami mangsa sedang terlantar di hospital.
Bagaimanapun, niat jahat suspek terbantut apabila dia dikejar orang ramai yang mendengar jeritan mangsa sejurus suspek cuba memeluk dan mencium mangsa yang ketika itu bersendirian di rumah.
Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 3 petang kelmarin, mangsa yang berusia 41 tahun bersendirian di dalam rumahnya di Kampung Pandan, di sini.
Menurutnya, mangsa kemudian didatangi seorang lelaki dikenalinya yang tiba-tiba masuk ke dalam dapur rumah tanpa meminta kebenaran.
“Lelaki itu kemudian tanpa segan silu berkata: 'sekarang suami kau tak ada...mari sini' sebelum bertindak membuka zip dan melucutkan seluarnya.
“Mangsa yang tergamam dengan perbuatan itu cuba meronta,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang ketakutan kemudian menjerit sekuat hati meminta tolong menyebabkan beberapa jiran datang membantu.
“Bagaimanapun suspek sempat melarikan diri walaupun dikejar orang ramai. Lelaki terbabit dikesan menyelinap dan bersembunyi di kawasan setinggan berhampiran menyebabkan dia gagal dijejaki.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami trauma berikutan lelaki terbabit kerap kali mengendap dan mencari peluang untuk mencabulnya, selain mengetahui suami mangsa tiada di rumah kerana dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.
Menurutnya, mangsa yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah.
“Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 44 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang kerani akaun berusia 27 tahun tergamam apabila diacukan pisau oleh seorang lelaki yang mengugutnya supaya menyerahkan barang berharga dimiliki.
Dalam kejadian jam 6 pagi kelmarin, mangsa baru turun dari bas dan cuba melintas jalan berhampiran pusat beli-belah Ampang Point di sini.
Namun dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal tiba-tiba berhenti berhampiran mangsa sebelum salah seorang mengeluarkan pisau sebelum mengacukannya ke arah perut mangsa.
“Penjenayah memaksa mangsa menyerahkan beg sandang yang dibawa. Namun, mangsa enggan menyerahkan begnya.
“Suspek kemudian memotong tali beg sandangnya menyebabkan mangsa terjatuh sebelum suspek segera melarikan diri,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian wang tunai berjumlah RM1,678, kunci rumah dan pelbagai barang berharga lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan