KUALA LUMPUR, 14 Sept: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendakwa mengenal pasti terdapat lebih 10,000 kes kad pengenalan (IC) palsu.
Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi DPPM, Suhaizan Kaiat berkata, buktinya, pertama yang paling jelas adalah melalui kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang disiarkan The Star pada 24 Julai lalu.
Katanya, Wan Ahmad mengakui bahawa terdapat kad pengenalan klon dalam daftar pemilih SPR.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Johor menambah, bukti kedua adalah melalui data yang telah dikeluarkan SPR daripada Daftar Pemilih Induk (DPI).
“SPR telah mengeluarkan dua jenis data yang telah dibongkar oleh Dewan Pemuda PAS iaitu, pertamanya isu dua nama yang sama memiliki nombor kad pengenalan yang hampir sama, dan keduanya isu satu kad pengenalan lama dimiliki dua individu,” ujarnya pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini, tengah hari ini.
Katanya, antara perkara yang menjadi persoalan pihaknya kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ialah SPR mengenal pasti kad pengenalan palsu berdasarkan kepada maklumat JPN.
Menurutnya, apabila SPR telah membuat pengesahan maklumat daripada JPN, maka langkah seterusnya adalah mengeluarkan maklumat pemilih palsu tersebut daripada DPI.
"Persoalannya, bagaimanakah dalam masa singkat, dua bulan sahaja JPN begitu mudah mengenal pasti data palsu dalam pangkalan datanya?
"Bagaimana JPN bolah mengesahkan salah satu data tersebut tidak sah?" soalnya.
Katanya lagi, bukan mudah untuk sesuatu jabatan kerajaan menjejaki lebih 10,000 kes kad pengenalan palsu dalam waktu dua jam.
"Persoalannya, apakah JPN sememangnya sudah memilik senarai kad pengenalan palsu yang akan dimasukkan dalam daftar pemilih SPR untuk tujuan manipulasi pilihan raya?
"Apakah JPN terlibat dalam penyelewengan kad pengenalan palsu," tanya beliau lagi.
Kalau Pemuda PAS yang tidak boleh masuk ke dalam bilik kebal JPN pun boleh membuktikan lebih 10,000 kad pengenalan palsu, beliau bertanya berapa jumlah sebenar kad pengenalan palsu yang telah dikeluarkan JPN.
Beliau berkata, bukti-bukti yang Permuda PAS bangkitkan adalah melambangkan kecelaruan kerja yang terdapat dalam JPN dan mendesak agar siasatan segera perlu dilakukan ke atas jabatan itu.
Tegasnya, pilihan raya tidak boleh diadakan dalam waktu terdekat jika kecelaruan maklumat di peringkat JPN dan akan menjejaskan SPR.
"Pemuda PAS bertekad akan terus membongkarkan manipulasi pilihan raya ini sehingga SPR dan JPN benar-benar bersih dan adil," tegasnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan