"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

P’raya: Mahathir mula tekan Najib?

Muhammad Faizal
KUALA LUMPUR, 14 Sept: Tekanan seperti apa yang berlaku pada zaman pemerintahan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) makin terasa apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mula menyuarakan pendapatnya agar pilihan raya tidak diadakan dalam masa terdekat.

Mahathir berpendapat jika pilihanraya diadakan pada secepat yang mungkin ia tidak akan memberi kemenangan mahupun berpihak kepada Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Najib Razak perlu mengambil tempoh masa yang panjang bagi meneliti kembali senarai calon-calon yang ingin bertanding pada pilihanraya nanti.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang berkata pada satu sidang media di Pejabat Agung PAS di sini, menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahathir itu memberi gambaran yang jelas bahawa wujud permasalahan sama ada di dalam Umno mahupun BN.

"Teguran yang disuarakan oleh Mahathir itu jelas menggambarkan berlakunya permasalahan sama ada di dalam Umno mahupun BN dan saya tidak menolak beliau mula memainkan peranannya bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri sekarang, inilah yang berlaku pada pemerintahan Pak Lah dulu.

"Tindakan Mahathir yang mahukan BN mengambil masa yang lebih panjang bagi meneliti kembali senarai calon agar memastikan kemenangan kepada BN bukan hanya tertumpu kepada senarai nama yang lain malah ia lebih memfokuskan kepada kedudukan Najib sebagai Pengerusi BN.

"Mesej yang jelas membuktikan Najib tidak lagi dapat memberi kemenangan kepada BN pada pilihanraya yang akan datang," jelasnya.

Tambah Mahfuz lagi, Mahathir juga dilihat sebagai "mastermind" dalam perancangan agar Najib berundur sebelum berlangsungnya pilihanraya umum nanti.

Malah tidak mustahil akan ada mereka yang menjadi pengikut telunjuk Maahathir.

"Mahathir akan cuma memberi tekanan dam memastikan Najib berundur sebelum pilihanraya nanti dan beliau sendiri dilihat sebagai mastermind dalam usaha tersebut, saya pasti apabila kenyataan yang disuarakan oleh beliau itu akan ada mereka yang di dalam Umno mahupun BN menjadi pengikut telunjuk serta menyokong pendapat yang beliau utarakan itu.

"Bagi memastikan kemenangan kepada BN, pengerusinya perlu ditukar dan orang akan melihat siapa ketua sebelum membuat pilihan, inilah yang dimaksudkan oleh Mahathir," sambung Mahfuz lagi.

Sebelum ini, Mahathir telah mengeluarkan pendapat beliau pada satu forum yang diadakan di Putrajaya yang menyatakan pemilihan calon yang boleh menang dalam pilihan raya akan menimbulkan masalah antara pucuk pimpinan dan peringkat.

Calon yang boleh menang dalam pilihan raya bergantung kepada penilaian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan penasihat dalam menentukan calon yang akan bertanding.

Tiada ulasan: