KUALA LUMPUR, 23 DIS: Aktivis Pelajar, Adam Adli tampil membuat laporan polis berhubung ancaman ditumbuk dan ugutan keatas dirinya daripada seorang anggota polis.
Adam Adli sebelum ini menerima ancaman tersebut daripada anggota polis berpakaian biasa bernama Roslan Mokhtar sejurus selepas membuat laporan ugutan bunuh terhadapnya di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman beberapa hari lalu.
Pada 17 Disember, Adam Adli, Mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim ketika menyertai demontrasi bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) bertindak menurunkan bendera Perdana Menteri di ibu pejabat Umno sebagai tindakan protes AUKU.
Bendera berslogan kebebasan akademik itu hanya digantikan untuk beberapa ketika sebelum Adam menaikkan semula bendera asal.
Bagaimana pun tindakannya itu menerima pelbagai ugutan termasuk ugutan bunuh, pukul, ludah dan cacian.
Peguam yang mewakili Adam, Fadiah Nadwar berkata ugutan seumpama itu tidak sewajarnya hadir daripada anggota polis, sedangkan tiada sebarang jenayah dilakukan oleh gerombolan mahasiswa yang berdemontrasi baharu-baharu ini.
"Jadi keterangan hari ini diambil berdasarkan insiden tersebut dan kita akan lihat sama ada anggota polis yang terlibat ini akan ambil tindakan kerana ia begitu jelas bahawa terdapat ugutan dari pihak polis," katanya.
Sementara itu, Adam Adli menjelaskan sebagai mahasiswa beliau bertindak sebagai agen masyarakat untuk menegur mana-mana pihak yang salah tidak kira kerajaan mahupun pembangkang.
Namun, beliau kecewa dengan tindakan yang diterimanya apabila tindakannya menurunkan kain rentang itu diputar belitkan oleh pihak berkepentingan yang takut terhadap gerakan mahasiswa.
"Sebagai seorang mahasiswa, apa yang anda takutkan sangat terhadap kami, kami bukan, kami bukan ahli politik, kami hanyalah mahasiswa, jika sehingga tahap ini, maka benarlah perjuangan mahasiswa hari ini berada dilandasan yang betul,"
Beliau berkata demikian sejurus selepas memberi kenyataan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.
Adam berkata tindakannya menurunkan bendera itu adalah simbolik kemenangan kepada siswa pada hari tersebut.
Akhbar kawalan UMNO, Utusan Malaysia bertarikh 21 Disember melaporkan Naib Ketua Pemuda UMNO Kepala Batas, Reezal Merican mendakwa Adam bukan sahaja bertindak menurunkan bendera Perdana Menteri, malah mengatakan mahasiswa itu telah memijak bendera tersebut.
Mengulas lanjut pekara ini, Adam berkata sekiranya Reezal tidak mengeluarkan kenyataan maaf diatas kenyataan fitnahnya itu, mahasiswa tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan