Nazli Ibrahim
Blogger Tukar Tiub (TT) yang sebelum ini memperlihatkan sikap meragui kemampuan Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam mengepalai agenda perubahan anak muda baru-baru ini telah melontarkan cabaran terbarunya kepada Shamsul.
Blog Tukar Tiub (TT) yang dikendalikan oleh aktivis bebas terkenal, Hishamuddin Rais merupakan antara blog yang menduduki carta teratas selama beberapa tahun dalam kedudukan blog yang mempunyai capaian tertinggi.
Selain itu, blog tersebut dikatakan mempunyai pengaruh kuat dalam membangkitkan semangat melawan anak muda bagi menumbangkan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) yang dianggapnya penuh dengan ketidakadilan.
Adakah Shamsul mampu membuktikan bahawa beliau sebagai Ketua AMK yang memiliki aura kekuatan dan pengaruh terhadap anak-anak muda khususnya mereka yang berada di dalam AMK?
Kemampuan pesaing beliau dalam perebutan jawatan Ketua AMK sebelum ini kerap kali terbukti akan kemampuannya menarik sokongan anak muda dari akar umbi dan orang ramai dalam rapat-rapat umum termasuk demonstrasi dan program-program mendekati anak muda yang tersusun.
Kemampuan beliau itu bukanlah hanya terletak kepada aura atau kekuatan pengaruhnya, tetapi yang lebih penting kemampuan beliau mengatur susun gerak kerja, strategi dan menggerakkan jentera untuk memobilisasi anak-anak muda.
Kini, mampukah Shamsul membuktikan bahawa beliau adalah pemimpin anak muda dalam AMK yang mempunyai aura, kebijaksanaan mengatur strategi dan gerak kerja yang tersusun?
Adakah Shamsul mampu mempamirkan kekuatan AMK untuk menggempur musuh agar digeruni lawan dan memilik pengaruh terhadap anak-anak muda khususnya terhadap golongan akar umbi dalam AMK sendiri?
Kikis persepsi ‘kaki menempel’
Shamsul harus mengikis persepsi bahawa beliau bukanlah seorang anak muda ‘kaki menempel’ pemimpin tertinggi PKR mahu pun anak manja dalam parti itu dengan menunjukkan daya usaha beliau sendiri menggerakkan anak muda tanpa mengharap aura pemimpin tertinggi parti.
Menggerakkan beberapa kerat penyokong yang terdiri dari orang-orang kanannya dalam AMK adalah tidak memadai dan tidak membawa apa-apa makna kepada anak-anak muda di peringkat akar umbi.
Umumnya tentu setuju bahawa perkara ini tidak wajar dianggap sebagai satu pertandingan atau perbandingan antara Shamsul dengan bekas pesaingnya itu.
Bagaimanapun, Shamsul bertanggungjawab untuk meneruskan imej yang telah menjadi tradisi AMK selama ini yang dipandang sebagai kumpulan ‘hard core’ anak muda yang sama-sama berhujan, berpanas dan berlumpur dengan anak-anak muda di akar umbi.
Sikap suka ‘menempel’ kepada pemimpin tertinggi PKR akan hanya menyebabkan ketua AMK dipandang berada dalam golongan elit parti itu.
Shamsul harus membuktikan AMK di bawah pimpinannya mampu mengekalkan perbezaan antara AMK dengan anak muda dalam Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Pergerakan Pemuda Umno dan pergerakan pemuda lain-lain organisasi.
Jesteru itu, lontaran cabaran TT itu memang tepat pada masanya dan Shamsul tidak harus mempunyai rasa ragu-ragu kemampuan diri untuk menyambut cabaran tersebut.
Pada 9 Januari nanti, satu lagi peluang untuk Shamsul membuktikan bahawa beliau mempunyai keupayaan menarik ribuan anak muda dari akar umbi yang tentunya keupayaan beliau diyakini ramai.
Jika semalam hampir seribu mak cik-mak cik Felda yang menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad turun berdemonstrasi di hadapan ibu pejabat Felda walau dengan apa cara sekalipun, bagaimana pula kemampuan Shamsul sebagai ketua AMK yang dianggap sebagai golongan ‘hard core’?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan