"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada juga berita menghiburkan!

Ahmad Lutfi Othman
Mulanya saya sendiri turut bimbang kesan politik kes pencerobohan di Lahad Datu. Untuk pusingan pertama, Umno-BN seperti mendapat kelebihan. Tetapi begitulah ... tukang spinnya selalu bertindak keterlaluan.

Lihat saja komplot mereka untuk "mengenakan" Naib Presiden KeADILan, Tian Chua dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Ia ibarat gergaji bermata dua yang tajam. Walaupun diakui sindrom patriotisme bagai menolak Pakatan Rakyat ke penjuru kelam, namun "pencerahan" berjaya dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Rakyat, termasuk penduduk Sabah, mulai memahami isu sebenar, khususnya latar belakang terperinci, yang berakar daripada kegagalan -- sebenarnya dosa-dosa besar -- BN. Tumpuan yang teralih sekejap perlu difokuskan semula, bukan saja kepada punca masalah konflik berdarah itu, tetapi juga terhadap krisis sebenar yang dihadapi negara.

"Krisis Sabah ini masalah BN, antara lain sebab rundingan MILF puncanya.Tetapi pemimpin Umno-BN rasa membesar-besarkan perang ini menguntungkan mereka dari segi undi. Aku rasa Pakatan perlu tumpukan kepada masalah sebenar rakyat dan keperluan Malaysia untuk berubah. Cukuplah BN," seorang pembaca menulis SMS, sambil bersetuju kad pengenalan Malaysia begitu mudah diberikan kepada orang luar di Sabah, dan ia turut menjadi "bom jangka" yang kini meletup.

Saya bertanya balik, pada pandangannya, apakah isu atau fokus yang perlu diberi perhatian pemimpin Pakatan?

"Saya rakyat biasa, hanya mahu Malaysia yang kaya ini ditadbir oleh orang beramanah, takut hisab Allah, gerun untuk makan duit negara. Saya dah pencen, biarlah dapat berehat dan melihat anak cucu hidup bahagia," dia menjawab dengan menelefon saya.

"Cuba sdr baca Sunday Star hari ini, bagus laporannya, bertajuk "What the people want". Harapan rakyat simple saja. Kita jijik dengan ahli politik yang mudah mabuk kuasa. Semua mahu dibedalnya, termasuk tender potong rumput dan papan tanda jalan. Belum lama dipilih wakil rakyat, gaya hidup berubah, tukar kereta mewah, bina istana, sdr tentu lebih arif.

"Ini antara isu paling asas yang dinilai rakyat," ujarnya, dalam nada penuh kelegaan, sebelum menamatkan perbualan ringkas.

Saya juga menerima banyak SMS emel kebimbangan hampir sama. Seorang daripadanya mengingatkan tentang komuniti imigran Filipina di Sabah yang menjangkau 800,000 orang. "Saya ada rakan, seorang profesional, sudah lama berkahwin dengan rakyat Malaysia, tetapi masih tidak diluluskan permohonan kerakyatannya, walhal di Sabah, warga Selatan Filipina diberi IC begitu mudah, dan kini kita menerima padahnya."

Beliau sebenarnya lebih prihatin dengan suasana di Semenanjung kerana wabak hampir serupa berjangkit, walaupun hanya bertaraf pekerja asing, dengan jumlah yang ramai dan menyesakkan, daripada Myanmar, Indonesia, Bangladesh dan juga Vietnam.

"Mereka sudah lama menetap di sini. Belum dikira lagi yang datang untuk belajar, atas visa pelajar. Saya tidak percaya pihak berkuasa kita melihat isu ini serius. Saya syak banyak rasuah dan korupsi berlaku di pintu masuk negara sehingga Malaysia berlambak dengan warga asing,"

Walaupun saya menyiarkan pandangan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Zaini Othman, yang dikutip dari portal berita UKM, saya tidak menjangkakan begitu ramai pembaca yang teruja dengannya.

Mereka terkejut dengan pendedahan Zaini di wacana anjuran Institut Kajian Etnik (KITA), UKM pada 4 Mac itu. "Pemimpin militan bersenjata di Lahad Datu itu, Agbimuddin Kiram adalah seorang pesara kakitangan kerajaan negeri Sabah yang pernah memegang jawatan Penolong Pegawai Daerah (ADO) Kudat. Agbimuddin hanya boleh menjadi kakitangan kerajaan jika beliau warganegara Malaysia," tegas Zaini.

"Lebih mengejutkan lagi," tambah Zaini, "ada di kalangan penceroboh bersenjata itu sudah pun mendapat kerakyatan Malaysia melalui MyKad biru atau status pemastautin tetap di Lahad Datu dan Semporna. Apabila mereka mendarat di daerah Tawau dan memasuki perkampungan di Lahad Datu, mereka sebenarnya bertemu sanak saudara atau pulang ke rumah masing-masing."

Selain itu, saya turut tertarik dengan penemuan pengkaji DAP, Ong Kian Ming mengenai rekod 57 pengundi meragukan di Kampung Labian, Lahad Datu, iaitu kawasan yang dicerobohi kumpulan bersenjata Sulu.

Beliau mengesyaki 57 nama tersebut adalah sebahagian daripada warga Filipina berketurunan Sulu yang didaftarkan secara tidak sah di bawah "Projek IC".

“Kita boleh lihat dalam lokaliti Kampung Tanjung Labian, yang merupakan satu daripada Kampung yang terjejas akibat pencerobohan di Lahad Datu. Ini contoh bagaimana kita dapat lihat kesan Projek IC," ujar Ong.

Jumlah 57 orang itu merupakan sebahagian daripada kira-kira 60,000 pemilih meragukan di Sabah dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi suku pertama tahun 2012, katanya.

Sambil meneliti laporan Malaysiakini malam Selasa lalu, mata saya terpaku dengan dua berita tentang pelancaran buku biografi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

(Seingat saya buku sama, ketika itu belum siap dicetak, sudah dilancarkan (istilah lebih tepat, diperkenalkan) oleh Sultan Pahang, Disember tahun lalu, dengan penasihat penerbitannya, Dato' Ahmad Maslan).

Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyempurnakan majlis itu mencadangkan agar buku biografi berharga RM150 itu diedarkan ke sekolah sebagai pedoman generasi akan datang. "Ini adalah buku yang baik untuk dijadikan pedoman generasi baru 100 atau 200 tahun akan datang," kata Dr Mahathir.

Penerbitnya, Yayasan Amanah Perdana, mempromosi buku itu sebagai penerbitan untuk membendung "penipuan dan cemburu" mengenai Rosmah.

Dalam buku itu, Rosmah menjelaskan bahawa beliau kelihatan mewah kerana memakai perhiasan yang dihadiahkan oleh para tetamunya, demi menjaga hati individu berkenaan.

Katanya, tidak manis sekiranya pemberian mahal ditolak, dan ia menjadi pembaziran sekiranya barang kemas tersebut, termasuk cincin, jam dan perhiasan diri itu disimpan dalam peti besi.

Sekurang-kurangnya dalam suasana politik dan keselamatan negara kelihatan agak tertekan, berita Rosmah itu, bagi saya, menghiburkan! Dapat juga saya ketawa kecil sendirian terutama mengenangkan cadangan Dr Mahathir agar biografi "wanita pertama" itu menjadi bacaan pelajar sekolah!

II.

Ahad lalu, saya berkunjung ke Seremban, lebih tepat lagi Pejabat Perhubungan PAS Negeri Sembilan. Selain menyerahkan naskhah sisipan baru Harakah, Bangkit, untuk tujuan edaran secara percuma, saya bersama wartawan kanan, Aziz Muda, cuba menyelami situasi politik terkini di negeri yang menjadi rebutan sengit Pakatan Rakyat dan BN.

Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri yang dimenangi BN pada 2008 tanpa memperolehi majoriti dua pertiga jumlah kerusi Dun. Sesi perbincangan santai yang diketuai Pesuruhjaya PAS Negeri, Mohd Taufek Abd Ghani, yang juga Adun Paroi, cukup selesa.

Berdepan Umno-BN, yang dilihat bertungkus-lumus membina imej mesra-rakyat khususnya melalui tajaan slot Buletin Utama TV3, dengan paparan menonjol Menteri Besar, Mohamad Hassan, ternyata Taufek dan rakan-rakannya telah membuat persiapan rapi, apatah lagi di kawasan pengundi Melayu di luar bandar dan penempatan Felda.

Dalam usaha PAS memenangi sekurang-kurangnya lima kerusi Dun lagi, Taufek sendiri menghadapi cabaran besar apabila tambahan pengundi baru di Paroi begitu tinggi.

Selain mengharapkan sokongan masyarakat Tionghua yang dikira bakal memberi sokongan bulat kepada Pakatan, pendekatan lebih terancang perlu dilakukan untuk meraih sokongan pengundi Melayu.

Taufek yang pernah meninjau pilihan raya Turki pada Julai 2011 atas undangan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan menekankan bentuk kempen yang lebih kreatif dan imiginatif, dengan mementingkan mesej visual.

Beliau turut mengharapkan Bangkit dapat menyesuaikan persembahan lebih segar, terutama menyelitkan foto-foto menarik, dibantu grafik mudah.

Namun Taufek dan rakan-rakannya dalam PAS Negeri Sembilan, termasuk Setiausaha Perhubungan, Hassan Tambi sempat berkongsi kebimbangan melihatkan sikap agresif dan tidak bertamadun pihak tertentu yang merosakkan banyak billboard PAS, yang didirikan di lokasi strategi seluruh negeri.

"Bangkit perlu diedar terus kepada pengundi. Kita akan pastikan petugas parti dapat melakukannya dengan sistematik, tertib dan berhikmah," kata Hassan. PAS Negeri Sembilan merupakan negeri paling awal membuat tempahan untuk mencetak Bangkit secara berasingan.

Nota: Sumbangan untuk menaja percetakan Bangkit boleh disalurkan terus kepada akaun Maybank KAMI MEDIA 514075606399.

Tiada ulasan: