"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bagaimana pengganas Sulu jadi pegawai kerajaan?

Harakahdaily
KUALA LUMPUR: Persoalan yang lebih besar perlu dijawab, bagaimana seorang warga asing boleh dengan begitu mudah diberi kad pengenalan dan akhirnya diberi pula hak mengundi.
Demikian dinyatakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Riduan Mohd Nor dalam satu kenyataan.

“Apa keistimewaan Azzimudie sehingga beliau diberi layanan istimewa menjadi hak warganegara malah dibenarkan berkhidmat dengan pegawai kerajaan?” tanya beliau kepada Harakahdaily.

Kenyataan penuh beliau sebagaimana di bawah.

Di sebalik krisis pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, di mana aspek keselamatan dan kedaulatan negara menjadi perhatian utama, timbul pula isu identiti Agbimudin @ Azzimudie Kiram, ketua pengganas Sulu serta adik ‘Sultan Sulu’ Jamalul Kiram yang sebenarnya pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah (ADO) di Kudat, Sabah sekitar tahun 1970-an.

Pendedahan terbaru itu pastinya mengheret satu lagi lembaran baru dalam kes penyiasatan ini. Bagaimana seorang pengganas yang menceroboh masuk ke negara ini adalah bekas seorang pegawai kerajaan di negara ini.

Bukankah ia bermakna Azzimudie Kiram juga memiliki kad pengenalan Malaysia?

Persoalan yang lebih besar perlu dijawab, bagaimana seorang warga asing boleh dengan begitu mudah diberi kad pengenalan dan akhirnya diberi pula hak mengundi?

Apa keistimewaan Azzimudie sehingga beliau diberi layanan istimewa menjadi hak warganegara malah dibenarkan berkhidmat dengan pegawai kerajaan?

Pendedahan Rafizi Ramli mengimbau kembali pendedahan beberapa orang bekas kerajaan termasuk bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat skandal pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah sekitar tahun 1980-an dahulu.

Dilaporkan sejumlah berpuluh ribu kad pengenalan diproses dan diserahkan kepada waga asing, yang tujuannya adalah bagi memastikan mereka mendapat kerakyatan dan seterusnya mengundi dalam pilihanraya.

Isu ini akhirnya menjadi senjata makan tuan, apabila pengganas tiba-tiba mendarat di Lahad Datu dan menuntut Sabah kepada mereka.

Siapakah yang harus dipersalahkan tatkala melihat beberapa orang tentera Malaysia gugur syahid di medan perang menentang kelompok pengganas ini?

Soal kedaulatan bukan perkara yang boleh dianggap kecil dan mudah. Ia adalah persoalan penting negara. Sebarang penyelewengan perlu dibongkarkan dan tiada siapa yang perlu dilindungi.

Wajarlah mereka yang terlibat dalam pemberian kad pengenalan tersebut dihukum dengan hukuman yang keras termasuk bekas-bekas pemimpin negara.

PM perlu menjawab segala dakwaan berhubung identiti pengganas terbabit. Jawapan PM adalah pada ketegasannya mengambil tindakan dengani menyiasat dakwaan tersebut sehinggalah kepada mengheret dalang penjual kedaulatan negara ke muka pengadilan tanpa tangguh.

Beliau tidak boleh berlengah lagi atau terus mendiamkan diri dari menjawab persoalan yang dikemukakan. Kegagalan PM bertindak, atau lambat respons akan memberi kesan besar kepada dirinya dan partinya dalam PRU13.

Pastinya rakyat Sabah menjadi semakin marah kerana hak mereka sebagai rakyat dikongsikan oleh pendatang asing, bahkan pengganas di negeri itu.

Tiada ulasan: