"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Macam tak percaya je...

Majdan Dagang
Betul ke Ustaz? Tanya saya sekali lagi untuk mendapat kepastian.

“Betullah, rumah-rumah sekitar kawasan ijtimak ni rumah orang Umno, tetapi mereka memberikan kerja sama yang baik dengan membenarkan kita parkir kereta di laman rumah mereka,” terang Ustaz Riduan Mohamad Nor, Ketua Penerangan DPPM merangkap pengarah pengisian Ijtimak Tarbawi Malaysia.

Itulah antara perkara paling menarik sepanjang saya berada di Ijtimak Tarbawi 3.0 yang berlangsung di Maahad Tahfiz al-Quran al-Muhammadi kampung Parit Medan, Kundang Ulu, Ledang, Johor.

Saya macam tidak percaya pada mulanya sehinggalah diyakinkan oleh Ustaz Riduan. Mati-mati saya ingatkan rumah-rumah tersebut milik penyokong PAS. Inilah suasana mutaakhir ini di Johor. Walaupun sedia maklum kawasan ini memang Umno agak kuat, namun suasana ini menunjukkan mereka semakin terbuka. Tambahan pula perjuangan PAS semakin hari semakin diterima khususnya dalam kalangan orang muda. Saya jangka atas alasan inilah ijtimak kali ini diadakan di sini.

Walaupun telah hampir seminggu ijtimak berlalu, tetapi saya melihat banyak perkara positif yang diperoleh, di samping harapan menggunung pengarah pengarah pengisian ijtimak terhadap anak muda yang hadir.

Ustaz Riduan turut menyatakan bahawa selain penerimaan masyarakat setempat, pemilihan Johor juga ada kaitannya dengan peningkatan sokongan terhadap PAS. Peningkatan sokongan dari PRU 2004 – 2008 sebanyak 200 peratus dan 2008 – 2013 juga 200 peratus.

Sudah tentu pemilihan tempat ini sebagai tapak ijtimak ini juga ada kaitannya dengan tuan rumahnya iaitu Pesuruhjaya PAS negeri Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed. Sesungguhnya Dr Mahfodz merupakan anak Kampung Parit Medan yang pertama yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah.

Maka tidak hairanlah Dr Mahfodz merupakan sosok yang cukup disegani oleh masyarakat setempat.

Berbalik kepada ijtimak itu tadi, sambutan yang diterima memang menggalakkan. Menurut Ustaz Riduan, lebih 5,000 peserta menyertai ijtimak ini. Anak muda ini datang dari segenap pelosok tanah air dan pelbagai latar belakang, hatta dari Sabah. Mereka datang dengan satu matlamat iaitu memperkasa diri untuk meneguhkan perjuanagn Islam di bumi Malaysia ini. Angka dan sambutan ini memberikan isyarat yang jelas tentang sambutan orang muda kepada program PAS.

Sudah tentu saya amat kagum dengan kesungguhan mereka untuk hadir. Yang pasti kedatangan mereka tidak disambut dengan paluang kompang, bunga manggar, hotel berbintang-bintang atau pelbagai elaun. Mereka datang atas seruan Islam dan dibahu merekalah masa depan Islam bakal diperkuatkan.

Sudah tentu program yang besar seperti ini memerlukan komitmen yang tidak sedikit bagi memastikan semuanya berjalan lancar. Ustaz Riduan menyatakan perasaan gembiranya kerana semua petugas telah melaksanakan tugas masing-masing. Juga kesudian para pimpinan PAS pusat turut meluangkan masa untuk bersama-sama anak muda memberikan ilmu dan semangat.

Sebagai orang kuat program ini Ustaz Riduan meletakkan harapan besar kepada generasi pelapis yang hadir supaya apabila kembali ke tempat masing-masing dan membawa segala ilmu dan semangat juang semasa ijtimak serta mengaktifkan program tarbawi - dakwah, usrah, tamrin, jaulah, daurah tarbawi, mukhaiyyam dan sebagainya di kawasan masing-masing.

Selain harapan kepada pemuda, beliau berharap program ini dapat membuka minda dan hati penduduk kampung terhadap perjuangan PAS. Tentunya, harapan ini mahu diterjemahkan dalam pilihan raya yang akan datang.

Ijtimak kali ini secara langsung memberi peluang kepada anak muda ini merungkaikan pelbagai kekeliruan dalam isu semasa sama ada di dalam PAS mahu di luar. Mereka di beri ruang untuk berdialog secara terus dengan pimpinan pemuda dan mengumpul maklumat dan pencerahan semampu yang mungkin.

Saya percaya tidak mudah merungkaikan semua persoalan namun setidak-tidaknya ruang yang ada dapat dimanfaaatkan.

Yang pasti pimpinan pemuda kali ini mahu ijtimak ini dijadikan titik mula kepada anak muda yang hadir untuk mengembalikan kehangatan program-program usrah, tamrin dan sebagainya seperti era 80-an dahulu. Hal ini kerana semangat ukhuwah dalam kalangan ahli lebih kuat jika hal ini dapat dilaksanakan.

Bagi saya, setahun dari sekarang dalam ijtimak yang akan datang kita akan berkumpul kembali dan menilai sejauh manakah harapan ini dapat dilaksanakan!

Tiada ulasan: