Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh memuji pembangkang kerana mengemukakan "usul penting dan bersejarah" – yang buat julung kalinya diluluskan di persidangan Dewan hari ini.
Usul berkenaan dibentangkan oleh Datuk Amiruddin Setro (BN-Jeram) yang mencadangkan agar kerajaan negeri menyiasat dan menghentikan serta-merta projek pembangunan tanpa kebenaran merancang.
"Syabas saya ucapkan kepada ADUN Jeram yang membawakan usul yang penting kepada rakyat Selangor.
"Ini yang saya mahukan dalam politik Selangor, dan bukannya hanya membawakan usul kaum dan agama," kata Yeoh.
Amiruddin ketika mengemukakan usul tersebut berkata, projek seperti itu berbahaya kerana boleh menjejaskan keselamatan rakyat.
"Ini amat penting kerana pembangunan yang tidak terancang dan terkawal boleh menyebabkan masalah banjir kilat, hakisan dan tanah runtuh yang membahayakan keselamatan rakyat," kata Amiruddin yang juga timbalan ketua pembangkang.
Beliau mengemukakan usul tersebut mengikut Peraturan 26, Peraturan-peraturan Tetap DUN Selangor, sebelum ucapan penangguhan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Persidangan Dewan untuk penggal kali ini ditangguhkan pada jam 4.55 petang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan