"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

TG Hadi murabbi ummah demokratik – Mat Sabu

WAN NORDIN WAN YAACOB
SEJAK tahun 1978 lagi, Mohamad Sabu mengenali sosok pemikiran politik, dakwah dan kegigihan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika murabbi ummah itu meniti titian awal dalam politik dan dakwah tanah air.
Sejak memulakan karier politik pada tahun 1978 lagi, Mohamad Sabu mengakui mengenali batang tubuh Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan ketegasannya dalam mewarnai politik massa.

Dari segi penglibatan dalam politik, Tuan Guru Abdul Hadi hanya memilih PAS sebagai gerakan Islam yang disertainya.
Ketika PAS berada dalam BN, Mohamad Sabu berkata banyak pemimpin muda pada tahun itu bergiat dalam badan-badan Islam lain, seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan beliau sendiri terlibat dengan ABIM sejak dari tahun 1976.

Mohamad Sabu menyertai PAS pada tahun 1978, setelah PAS mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum pada tahun 1978 di mana PAS hanya tinggal dua kerusi iaitu di Dun Manik Urai (dalam Parlimen Kuala Krai) dan Dun Sering di Parlimen Pengkalan Chepa.

Pada tahun 1981, Mohamad Sabu dilantik menjadi Anggota Jawatankuasa Pemuda PAS dan tidak lama selepas itu jadi Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang kemudian, Setiausaha Pemuda dan terus kepada Naib Ketua DPP, kemudian AJK PAS Pusat, Naib Presiden dua penggal dan Timbalan Presiden dua penggal hingga kini.

Sepanjang dalam parti bermula di Dewan Pemuda PAS hingga ke jawatankuasa PAS Pusat beliau sentiasa bersama Tuan Guru Abdul Hadi dan lebih besar lagi adalah di bawah kepimpinan ulama.

Sejak Almarhum Tuan Guru Yusof Rawa, Almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor dan kini Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Abdul Hadi biasa berada dalam Exco Pemuda dan kemudian Naib Presiden PAS dan timbalan hinggalah kini sebagai Presiden.

“Banyak orang tersalah sangka melihat wajah serius Tuan Guru Abdul Hadi sebagai seorang Presiden PAS, sedangkan beliau sebenarnya seorang ahli mesyuarat dan menghormati keputusan yang dibuat dalam mesyuarat dan sangat demokrasi dalam sikapnya mengendalikan mesyuarat,” kata Mohamad Sabu

Menceritakan pengalaman bersama dalam mesyuarat, Mohamad Sabu menyatakan pernah dalam mesyuarat berlaku ketegangan hujah pelbagai pihak.

Kadang kala Presiden PAS itu membalas dengan tegas, namun ia masih dalam lunas yang membuatkan semua anggota jawatankuasa menerima dengan lapang dada.

Malah dalam keadaan begitu ujar Mohamad Sabu, keputusan yang dicapai bersama akan dilihat lebih molek dan bijaksana.

Sebelum muktamar tahun 2012, kadang kala berlaku perdebatan hangat beberapa anggota PAS Pusat dengan Tuan Guru Abdul Hadi.

Dalam muktamar kemudiannya AJK yang memberi pandangan bertentangan dengan Presiden PAS itu menang dalam pemilihan jawatankausa PAS Pusat.

“Saya sangka apabila berlaku pelantikan anggota Lajnah Politik PAS Pusat barangkali orang yang memberi pandangan berbeza tidak dilantik semula dalam lajnah itu.

“Tetapi mengejutkan saya orang yang berbeza pandangan inilah yang disebut lebih awal oleh Tuan Guru Abdul Hadi untuk duduk dalam biro politik dan presiden memang suka orang yang berterus-terang berhujah dalam mesyuarat.

“Tetapi beliau tidak gemar dengan mereka yang berhujah luar mesyuarat sedangkan orang itu anggota mesyuarat, sama ada dalam AJK atau biro politik,” kata Mohamad Sabu lagi.

Inilah Presiden PAS yang dikenalinya dan telah bersama sejak 1978 hingga sekarang.

Menceritakan pengalamannya secara peribadi, beliau beberapa kali dipanggil Tuan Guru Abdul Hadi untuk ditegur seandainya hal yang ditegur itu bukan hal yang boleh dibincang dalam mesyuarat.

“Iaitu hal peribadi beliau panggil dan tegur saya dengan bahasa yang baik dan berseloroh dan saya tiada masalah untuk terima teguran dan tunjuk ajar Tuan Guru Abdul Hadi,” ujarnya.

Bagi Mohamad Sabu, pengalaman itulah yang beliau lalui sepanjang mengendalikan parti dan jemaah yang mana dilihat PAS makin hari makin kuat.

“Kadang kala nampak macam ribut berlaku, sebenarnya ia adalah satu angin yang menyegarkan, sebab itulah saya yakin penuh bahawa Presiden PAS kita ini terus kukuh memegang dasar prinsip perjuangan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, isu-isu yang membabitkan bukan prinsip perjuangan akan diraikan hujahnya dengan baik.

“Saya perlu jelaskan ini supaya keutuhan parti dan jemaah dapat dipertahankan dan dapat tingkatkan kekuatan kita dari semasa ke semasa,” tegas Timbalan Presiden PAS itu.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Tuan Guru Abdul Hadi dengan pelantikan sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia baru-baru ini.

“Inilah murabbi ummah, di negara ini beliau sangat demokratik dan di peringkat antarabangsa beliau diangkat sebagai pemimpin ummah,” tegas Mohamad Sabu.

Tiada ulasan: