"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Chegubard nak tawan bangunan MITI?

chegubard
KUALA LUMPUR: Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard mengugut untuk menawan dan mengambil alih bangunan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sekiranya mereka meneruskan urusan perdagangan dengan pihak Israel di masa akan datang.

Beliau yang juga merupakan pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) kecewa dengan tindakan pihak kerajaan yang dilihat seolah-olah ‘munafik’ dalam isu ini.

“Pihak kerajaan terutamanya menteri-menteri hanya berlakon apabila mereka menunjukkan kesedihan ketika Palestin diserang, tetapi secara diam-diam mereka menjalankan urusan perdagangan dengan pihak Israel.

“Bukan itu sahaja, negara kita juga merupakan rakan dagang utama pihak Israel. Kita membekalkan hasil bumi negara kita seperti sawit, koko dan getah kepada pihak Israel,” katanya sewaktu berucap di hadapan bangunan MITI.

Jelasnya lagi, pada tahun 2004, pihak kerajaan telah membentangkan akta untuk membenarkan perdagangan dengan pihak Israel, dan sebelum ini pada tahun 1996, Malaysia telah membuka pintu seluas-luasnya untuk melakukan perdagangan dengan Israel.

“Kita menderma kepada tabung bantuan Palestin, tetapi secara tidak langsung kita juga meneruskan kelangsungan Israel,” ujarnya.

Katanya lagi, “Sebelum ini apabila negara hendak menghantar bantuan seperti panadol, kita telah disekat, tetapi kini pihak negara kita pula terus ‘menghidupkan’ ekonomi Israel

“Kita serius, ini merupakan langkah pertama kita, tetapi jika pihak MITI tidak mendengar tuntutan kita, kita serius untuk menawan MITI,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut menyatakan bahawa mereka sedar Perdana Menteri Najib Razak takut dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, tetapi jika Najib berani untuk menghentikan perdagangan dengan pihak Israel, pihaknya sendiri akan berada di belakang Najib untuk menyokongnya.

Beliau turut mendedahkan bahawa pihaknya turut mempunyai set borang kastam yang menunjukkan negara kita menyumbang kepada pihak Israel.

Dalam perhimpunan itu, satu memorandum telah diserahkan kepada Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan, Nik Rahman Nik Taib yang hanya menerima memorandum itu di luar pintu pagar MITI sambil dikawal oleh pihak polis bersenjatakan.

Dalam perhimpunan membantah hubungan dagang Malaysia dan Israel, kira-kira lebih 30 orang peserta berhimpun di hadapan bangunan MITI dan mereka turut melaungkan sorakan “hidup-hidup, hidup rakyat, bangkit-bangkit bebaskan Palestin,”.

Kain hitam turut diikat di pintu pagar bangunan MITI sebagai simbol untuk menghentikan perdagangan Malaysia dan Israel.

Tiada ulasan: