"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hanipa Maidin Lwn Hj Abd Hadi . Bocorkah Mesyuarat Ini?

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang mengetuai sidang media semalam selepas tamat mesyuarat pemimpin tertinggi PAS. Gambar fail The Malaysian Insider.
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang mengetuai sidang media semalam selepas tamat mesyuarat pemimpin tertinggi PAS.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berdepan dengan penentangan ahli partinya sendiri apabila 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor menolak calon menteri besar Selangor pilihannya – Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali ketika mesyuarat jawatankuasa pusat, seminggu selepas mereka memutuskan menghantar dua nama.

Mesyuarat semalam menyaksikan ketegangan berlaku di antara Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin (gambar sebelah) dan Hadi berhubung usaha PAS menyokong Azmin untuk jawatan tertinggi negeri itu berbanding Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kata sumber.
hanipa
“Terdapat ketegangan apabila Hanipa mempersoalkan langkah menyokong Azmin selepas 30 Adun termasuk Azmin sendiri menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah. Hanipa mahu tahu siapa lagi menyokong Azmin,” satu sumber memberitahu The Malaysian Insider dan menambah tiada jawapan diberikan kepada soalan itu.

PAS mempunyai 15 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor manakala PKR mempunyai 13 dan DAP 15. Selebihnya adalah 12 Adun Barisan Nasional (BN) dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menteri besar yang kini menjadi Adun bebas selepas dipecat PKR. PAS, PKR dan DAP menubuhkan Pakatan Rakyat (PR) yang mengatakan 30 Adun, termasuk dua dari parti Islam itu menyokong Dr Wan Azizah bagi jawatan tertinggi negeri itu.

Sumber itu juga memberitahu, mesyuarat semalam menyaksikan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu kecewa dengan pendirian keras Hadi agar dua nama dihantar kepada Sultan Selangor untuk jawatan menteri besar.

Mohamad tidak ada bersama pada sidang akhbar selepas mesyuarat PAS semalam. Difahamkan timbalan presiden PAS itu mengelak untuk bertemu media dan meninggalkan mesyuarat menggunakan pintu belakang selepas ia berakhir, begitu juga Hanipa.

Hadi juga tidak bertemu media selepas mesyuarat dan menghantar Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali untuk memberikan kenyataan satu perenggan dan memberikan penjelasan kepada media yang menanti.

Dalam mesyuarat semalam, ketegangan berlaku kerana Hadi bertegas tidak mahukan Dr Wan Azizah untuk memimpin negeri terkaya itu, menjadikan PAS tersepit selepas Adun mereka di Selangor memberitahu Hadi mereka tidak akan menyokong Azmin.

"Presiden tidak mahu Dr Wan Azizah, 13 Adun Selangor pula menolak Azmin, jadi hasilnya kita serahkan kepada Sultan untuk membuat pilihan," kata satu sumber kepada The Malaysian Insider dengan syarat tidak dinamakan.

Sebaik saja selepas mesyuarat selama dua jam semalam, Mustafa membacakan kenyataan satu perenggan yang berbunyi:

"Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada hari ini 25 Ogos 2014 bersetuju untuk menyerahkan kepada perkenan dan kebijaksanaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor dalam menentukan jawatan menteri besar Selangor.”

Mustafa juga enggan mengesahkan sama ada parti itu bersama pendirian Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PR) untuk menamakan Dr Wan Azizah dan sebaliknya memberitahu pemberita agar ‘tafsir (kenyataan) itu sendiri’.

"Mesyuarat (semalam) bertujuan untuk memutuskan sikap PAS selepas keputusan Pakatan berbeza dengan keputusan PAS,” kata sumber itu.
“Hasilnya mesyurat memutuskan, kita serah kepada Tuanku untuk memilih siapa calon menteri besar Selangor.”

Sumber berkata, ramai dalam mesyuarat semalam terkejut dengan penegasan Hadi kerana beliau sendiri yang mencadangkan kedua-dua Dr Wan Azizah dan Azmin dipertimbangkan untuk jawatan itu semasa mesyuarat parti pada 17 Ogos.

"Presiden memberikan dua alasan. Satu alasan agama dan satu lagi kelayakan," kata sumber itu merujuk kepada hujah mengatakan Dr Wan Azizah tidak layak memimpin kerana beliau merupakan seorang wanita.

13 Adun PAS Selangor bertemu Hadi dua kali selepas rakan mereka Adun Hulu Klang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin mengisytiharkan sokongan mereka kepada Dr Wan Azizah.
Kali terakhir mereka bertemu pada 20 Ogos di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut. Azmin juga dikatakan sudah bertemu dengan Hadi pada hari berkenaan untuk membincangkan beberapa perkara termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor.

Mustafa semalam berkata, 13 Adun PAS tidak akan menyertai dua rakan mereka dan 28 Adun PR menandatangani akuan bersumpah menyokong Dr Wan Azizah sebagai menteri besar. Bagaimanapun, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan semalam surat mencalonkan isterinya untuk jawatan itu sudah dihantar ke istana. Beliau berkata, tiada keperluan parti gabungan itu menghantar surat secara individu kepada Sultan berhubung pencalonan tersebut. – 26 Ogos, 2014. (TMI)

Tiada ulasan: