"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kejam: Cabut Empat Batang Gigi Pembantu Rumah Guna Playar

KUALA LUMPUR: Seorang perunding di sebuah kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini, Jumaat terhadap pertuduhan menyebabkan kecederaan parah dan cubaan membunuh pembantu rumahnya.

Ong Su Ping Serene, 47, didakwa menyebabkan kecederaan parah dengan mencabut empat batang gigi pembantu rumah warga Indonesia Meriance Kabu, 32, menggunakan playar di sebuah rumah di Persiaran Pandan 7, Pandan Jaya, antara 11 April dan 20 Disember 2014.

Jika disabitkan kesalahan itu, dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Wanita itu turut mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan cuba membunuh Meriance di tempat sama pada 12 tengah hari, 20 Disember lepas, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam William Edwin yang mewakili Ong memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menjaga neneknya yang uzur.

Hakim Unaizah Mohd membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu pasport diserah kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap akhir bulan.

Mahkamah menetapkan 5 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang pembantu rumah berjaya diselamatkan oleh jiran susulan penemuan nota yang ditulisnya berbunyi 'tolong bos dera saya' di bawah pintu rumah majikannya.
-mstar-

Tiada ulasan: