WILKES-BARRE (Amerika Syarikat): Seorang ibu sepatutnya melindungi anaknya sendiri, tetapi lain pula ceritanya dengan seorang wanita di sini yang meminta lelaki yang baru dikahwininya merogol anak perempuannya sendiri.
Wanita itu, Misty Machinshok, 33, dilaporkan meminta suaminya, Gary, 29, merogol anak perempuannya yang berusia 15 tahun semata-mata mahu mempunyai anak.
Lebih mengejutkan Misty turut ‘mengajar’ Gary bagaimana untuk merogol anaknya supaya gadis berkenaan hamil.
Misty juga didakwa memegang tangan anaknya ketika Gary merogol mangsa hampir setiap hari sepanjang 2013.
Sekiranya mangsa hamil, wanita itu merancang memberitahu orang ramai anaknya membuat hubungan seks ketika menghadiri satu parti.
Bagaimanapun, kekejaman pasangan itu terbongkar apabila mangsa memberitahu rakan sekolahnya yang terus memaklumkan kejadian berkenaan kepada guru mereka.
Pasangan itu ditangkap pihak polis dan mereka didakwa di mahkamah atas tuduhan mendera, rogol dan jenayah lain.
Misty yang mengaku bersalah atas beberapa tuduhan dihukum penjara selama 15 hingga 30 tahun.
Dia mengaku bersalah atas tuduhan merogol, konspirasi, serangan ganas, membahayakan kanak-kanak dan beberapa tuduhan jenayah lain.
Gary yang berkenalan dengan Misty di sebuah laman sesawang mencari jodoh pula akan dihukum sedikit masa lagi selepas mengaku bersalah merogol kanak-kanak.
Dia juga mengaku melakukan serangan seksual terhadap adik perempuan mangsa berusia 11 tahun.
Pegawai pendakwa raya, Nancy Violi berkata, kes itu adalah yang paling kejam yang pernah dikendalikannya sepanjang 14 tahun dia bertugas.
-Agensi-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan