"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tunggu komen Haji Hadi: Rasuah, penipuan, buat Malaysia belum sedia laksana hudud, kata aktivis Islam

Rasuah, penipuan, buat Malaysia belum sedia laksana hudud, kata aktivis Islam
YASMIN RAMLAN
Pengerusi International Human Rights Committee Dr Sir Iftikhar Ahmad Ayaz semasa forum Peace Symposium 2015 di Royale Bintang Hotel, Kuala Lumpur hari ini. 

Malaysia masih belum bersedia dengan pelaksanaan hudud kerana negara ini masih belum mencapai tahap "kesolehan" yang perlu diamalkan, kata pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Antarabangsa (HRC), Dr Sir Iftikhar Ahmad Ayaz.

Iftikhar berkata Malaysia mungkin tidak mampu melaksanakan hudud ataupun undang-undang Islam dengan baik kerana banyak terlibat dengan amalan rasuah dan penipuan.

"Mereka menipu demi wang.

"Mereka tidak ikhlas mengabdikan diri dalam iman dan amal. Semuanya dilakukan seperti satu ritual," katanya kepada pemberita di forum "Simposium keamanan: Memahami Syariah dari perspektif agama dan hak asasi" di Kuala Lumpur semalalm.

Iftikhar yang merupakan ahli Komuniti Islam Ahmadiyya berpendapat, undang-undang syariah itu hanya berjaya dilaksanakan sekiranya umat Islam membina masyarakat mereka.

"Undang-undang syariah untuk mereka yang soleh, yang mempunyai rasa cinta dan takut kepada Allah dalam hati mereka.

"Jika tidak, hukum hudud akan disalahgunakan. Malaysia masih belum bersedia," katanya.

Menurutnya, hak asasi minoriti perlulah dijamin sekiranya hudud dilaksanakan dan mereka tidak seharusnya merasakan hak asasi mereka disekat.

"Tidak ada perbezaan antara golongan minoriti dan majoriti," katanya.

Beliau pada masa sama menceritakan mengenai Perlembagaan Madinah, yang dirangka oleh Nabi Muhammad, antara umat Islam dan bukan Islam, mengatakan piagam tersebut menyenaraikan keistimewaan yang dijanjikan untuk penganut Kristian, termasuk arahan daripada Nabi untuk tidak memusnahkan gereja.

“Nabi juga seorang umat Islam yang membantu membina gereja. Itulah Islam yang sebenar. Tetapi bolehkah ia terjadi di sini?” soalnya.

Sementara itu, peguam hak asasi Syahredzan Johan berkata, melaksanakan hudud di sebuah negara bukan Islam tidak akan tercapai objektifnya, mahupun dari segi keadilan.

“Hudud, jika ia dilaksanakan di negara kita yang bukan negara Islam, tidak akan mencapai keadilan tapi hanya akan menjadi tidak adil.

“Oleh itu, hudud hanya boleh dilaksanakan di negara yang semua perlembagaannya selaras dengan Syariah,” katanya.

Beliau juga memetik kata-kata bekas ahli Parlimen PAS Mohamed Hanipa Maidin, yang kini menganggotai Parti Amanah Negara, yang mengatakan hudud hanya mampu memastikan kebenaran dan keadilan tertegak sekiranya ia dilaksanakan dalam persekitaran Islam yang sempurna dengan tadbir urus yang baik.

“Sebaliknya, jika tiada tadbir urus yang baik, undang-undang hudud, walaupun matlamatnya ialah membawa undang-undang dan perintah yang tulen, boleh menjadi tidak produktif terutamanya jika ia dilaksanakan oleh sebuah negara yang gagal.”

Namun kata Syahredzan, Malaysia bukanlah negara yang gagal, tetapi hampir ke arah itu kerana mempunyai krisis keyakinan terhadap kerajaan sedia ada dan defisit kepercayaan.

Pada awal tahun ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghantar notis kepada Parlimen, berhubung rang undang-undang itu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), atau rang undang-undang hudud.

Ia akan membenarkan Hadi membentangkan rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965, juga dikenali sebagai Akta 355, bagi membuka laluan kepada pelaksanaan hudud di Kelantan.

DUN Kelantan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11 1993 (Pindaan 2015) tetapi ia masih tidak dapat dilaksanakan sehingga pindaan dilakukan terhadap undang-undang persekutuan.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: