"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita ini akan didakwa esok kerana melepaskan belon kuning dimajlis yang dihadiri Najib

 Pepatah Melayu menyebut kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Bagaimanapun, bagi penari muda Bilqis Hijjas, kerana belon kuning yang dilepaskannya ke arah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, beliau akan diheret ke mahkamah esok.

Menurut kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL), anak jurutera terkenal Hijjas Kasturi itu akan didakwa bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan kecil 1955, berkaitan tindakan menghina.

Pendakwaan itu dijangka dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Jalan Duta pada jam 9 pagi esok.

Bilqis, 35, yang terkenal dengan gelaran “Gadis Belon' akan diwakili oleh peguam muda Michelle Yesudas.
Sementara itu, BERSIH dalam kenyataanya hari ini berkata mereka dimaklumkan Bilqis akan mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

“...kerana katanya di laman sosial Facebook, ‘menjatuhkan belon bukanlah satu jenayah’,” menurut kenyataan jawatankuasa pemandu BERSIH.

Pengerusi BERSIH turun

Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah akan turut hadir bersama ke mahkamah esok, sebagai tanda setiakawan bersama Bilqis.

“BERSIH 2.0 mengutuk pendakwaan terhadap Bilqis yang hanya bertujuan menghukum anak muda ini untuk ‘kesalahan’ yang mengarut, sedangkan penyangak sebenar yang merompak kekayaan negara masih terlepas bebas tanpa risiko berhadapan sebarang tindakan undang-undang,” kata BERSIH.

Pada Hari Merdeka 31 Ogos lalu, tujuh belon kuning dilepaskan di pusat membeli belah Pavilion di ibu negara dalam acara dihadiri Najib dan isterinya Rosmah Mansor.

Belon yang dilepaskan dari tingkat lima itu menarik perhatian umum. Ia dilepaskan ketika Najib menonton persembahan tarian pembukaan acara DiverseCity 2015: Festival Kesenian Antarabangsa Kuala Lumpur.

Belon yang dilepas antaranya tertulis perkataan "Democracy", "Justice", "Free Media" dan kemudian dipecahkan oleh pengawal keselamatan.

Najib dan Rosmah tidak menunjukkan sebarang reaksi kerana tidak menyedari insiden itu berlaku.

Ratusan ribu rakyat menyertai perhimpunan BERSIH 4 yang berlangsung selama 34 jam di Dataran Merdeka pada Sabtu dan Ahad menjelang Hari Merdeka.

Mereka mendesak Najib melepaskan jawatannya ekoran pelbagai masalah yang dihadapi negara selain dakwaan skandal melibatkannya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: