"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kecut 'Tenglu palsu' bila Khairuddin cabar tunjuk surat beranak

Mohamad Fadli  
kunan-khairuddin
PETALING JAYA: Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mencabar Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya menunjukkan surat beranak kepada umum bagi membuktikan gelaran `tengku’ yang digunakan itu bukan palsu.Tindakan itu dibuat selepas Khairuddin sebelum ini mendakwa Tengku Adnan atau lebih mesra digelar Ku Nan menipu dengan menggunakan gelaran tengku palsu pada namanya itu.

“Tolong tunjuk surat beranak kamu untuk membuktikan bahawa nama asal kamu itu bergelar tengku.

“Saya cabar kamu untuk berbuat demikian secepat yang mungkin. Tapi janganlah tunjuk surat beranak salinan baru pulak,” tulisnya di laman Facebook.

Pada masa sama, Khairuddin turut mencabar mahu berjumpa dengan rakan sekolah Ku Nan sebagai usahanya untuk memastikan gelaran tengku itu telah digunakan sejak zaman sekolah lagi.

“Apa nama kamu yang sebenarnya ketika belajar di sekolah dahulu Adnan Mansor. Bolehkah saya nak berjumpa dengan guru-guru serta guru besar ataupun kawan-kawan persekolahan kamu pada waktu itu. Bolehkah tengku palsu Adnan Mansor,” katanya.

Semalam, Ku Nan berkata isu gelaran tengku itu bukanlah isu baru memandangkan beliau pernah menjelaskan perkara berkenaan semenjak zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di dalam UMNO lagi.

“Pada 1982, saya pernah cakap ketika bertanding sebagai exco pemuda, saya bukan Tengku dari Malaysia, saya keturunan Acheh, orang Islam yang datang ke bumi Malaysia,” kata Ku Nan.

------------------

Saya Tengku dari Acheh, pejuang bangsa dan Islam- Ku Nan

Adam Abu Bakar
ku-nan-acheh-2
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengakui darah yang mengalir di dalam tubuhnya tidak pernah tunduk dan mengalah pada asakkan mana-mana pihak.

Ini kerana beliau dan keturunannya yang berasal dari Acheh merupakan pejuang negara dan juga agama Islam.

“Lihat sejarah Acheh di mana Tengku Nyah Abu pergi dan inilah cucu dia, pejuang Islam, pejuang yang pertahankan tanah air.

“Datuk dan nenek saya tidak pernah tunduk kepada Belanda. Sebab itu saya kuat, darah itulah yang mengalir,” katanya sewaktu berucap merasmikan Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita UMNO Cawangan-Cawangan Dalam Bahagian Batu, hari ini.

Menurut Setiausaha Agung UMNO itu lagi, isu gelaran Tengku ini bukanlah isu baru memandangkan beliau pernah menjelaskan perkara ini sejak zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di dalam UMNO lagi.

“Pada 1982, saya pernah cakap ketika bertanding sebagai exco pemuda, saya bukan Tengku dari Malaysia, saya keturunan Acheh, orang Islam yang datang ke bumi Malaysia,” ujar beliau lagi.

Tengku Adnan yang mesra digelar Ku Nan turut menyedari bahawa gelarannya itu menjadi perbualan sesetengah pihak.

“Saya tahu, bila saya cakap lepas ini saya kena, sehinggakan keturunan saya mereka bangkitkan,” kata beliau lagi.

Sebelum ini, Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan mendakwa, gelaran itu palsu dan bukannya gelaran yang berasal daripada keturunan.
-fmt-

Tiada ulasan: