"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami kejam ke tali gantung akibat bakar isteri

Predeep Nambiar 
Chiam-Nguang-Huat
GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang lelaki yang didakwa membunuh isterinya di Bukit Mertajam tiga tahun lalu.

Chiam Nguang Huat, 42, didapati bersalah membakar dan membunuh Lai Siew Fong, 37.

Nguang Huat tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Nordin Hassan membacakan hukuman itu.

Tertuduh juga bersikap acuh tak acuh ketika penterjemah mahkamah memaklumkan dia akan digantung sampai mati dalam dialek Hokkien.

Penganggur itu didakwa membunuh isterinya di sebuah rumah bernombor 59 di Jalan Bayu Mutiara, Bukit Mertajam pada jam 4 petang 24 Jun 2013.

Ketika perbicaraan, mahkamah diberitahu Nguang Huat dan isterinya bergaduh sebelum tertuduh membakar mangsa.

Tertuduh yang bertindak menyembunyikan diri di Lembah Klang, akhirnya ditahan sembilan bulan selepas kejadian itu.

Mangsa yang dirawat di unit kebakaran Hospital Pulau Pinang pula meninggal dunia tiga bulan kemudian.

Nordin dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu kerana tindakan tertuduh membeli satu botol plastik untuk mengisi petrol membuktikan dia berniat membunuh mangsa.

Jelasnya, keterangan yang diberikan dua anak mangsa di mahkamah turut mendedahkan tertuduh mencurah petrol ke badan mangsa, sebelum membuang rokok yang masih bernyala ke atas lantai.

Sehubungan itu, beliau menolak hujah Nguang Huat kononnya dia mahu membunuh diri tetapi terbakar isterinya secara tidak sengaja.

“Jika dia mahu bunuh diri, dia tidak akan selamatkan dirinya semasa bahan api dinyalakan,” kata Nordin sambil menambah mahkamah turut mengambil kira lelaki itu pernah memukul isterinya.
-fmt-

Tiada ulasan: