"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hubungan PAS dengan DAP umpama main masak-masak, PAS merajuk sekejap - MPT parti Bersatu

Pas memang relevan bagi PPBM
ARIF ATAN
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Tariq Ismail berkata, hal tersebut memandangkan peranan Pas yang selama ini bertanding di kawasan BN.

“Pas memang relevan bagi PPBM. Kita nak bertanding lawan Umno. Pas memang bertanding dengan Umno,” akuinya dalam wawancara Menuju Bersih 5 di Radio Bangsar Utama malam tadi.

Beliau memberitahu, MPT PPBM sedang meneliti beberapa perkara sebelum parti berlogokan bunga raya itu menyertai gabungan Pakatan Harapan.

“Kita perlu masa. MPT kaji draf perjanjian antara PPBM dengan Pakatan Harapan. Kita sudah lihat draf itu. Ada beberapa perkara yang perlu disemak.

“Kita pun perlu bekerjasama dengan Pas. Pas memang sudah setuju bekerjasama dengan kita. Dia pun setuju untuk kembali kepada Pakatan Rakyat tetapi bukan Pakatan Harapan,” ujarnya.

Tariq yang juga cucu kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman turut menerangkan reaksi Pas terhadap PKR dan DAP berhubung kerjasama dalam Pakatan Harapan.

“Pas hanya kerjasama dengan PKR sahaja dalam Pakatan Harapan tetapi sebagai ahli majlis tertinggi, kita yakin antara Pas dan DAP tidak ada masalah kalau kita (PPBM) ada sebab kita ini jadi jambatan antara kedua-duanya.

“Kerangka masa berunding dengan Pas? Kita kena tetapkan masa. Kalau kita tandatangan, bagaimanakah kalau jadi kerajaan? Bagaimana Pas dan DAP?

“Contohnya, tentang RUU 355. Memang tidak ada masalah. Sebenarnya, DAP tak cakap apa-apa. MCA ‘hantu’ yang bersuara menentang RUU 355,” tegasnya.

Walau bagaimanapun, Tariq yang merupakan ahli perniagaan itu enggan memberi ulasan apabila ditanya moderator tentang parti mana paling bermasalah antara Pas dan Amanah.

“Antara Amanah dan Pas memang ada masalah. Yang lebih bermasalah? Saya tak nak cakap apa-apa. Apa yang saya lihat Pas kecewa sebab kerusinya ialah kerusi dia tapi jadi kerusi Amanah,” jawabnya lagi.

‘Main masak-masak’

Sementara itu, penggerak PPBM Parlimen Sri Gading, Shukur Mohamad turut dilihat senada apabila menyatakan kerusi yang Amanah miliki adalah kerusi Pas yang lalu.

“Sebahagian dari Pas memang berharap duduk dalam Pakatan Harapan, contohnya Datuk Mahfuz Omar (Ahli Parlimen Pokok Sena).

“Orang Pas ini taat, walak pada ketua. Yang tidak mahu bersama Pakatan Harapan mungkin dapat RM90 juta kot,” katanya merujuk kepada sejumlah wang diterima Pas daripada Perdana Menteri seperti didedah laman web Sarawak Report, Ogos lalu.

Mengulas tentang pendirian Pas yang menolak DAP, Shukur yang sebelum ini 25 tahun bersama Umno menganggap sikap parti Islam berkenaan sekadar bersifat sementara.

“Ibarat orang main masak-masak, orang tidak ajak dia, dia merajuklah sekejap,” tambahnya lagi yang juga anak sulung Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor, Tan Sri Mohamad Aziz.

Tiada ulasan: