"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kereta Toyota Vios milik anggota PKR dibakar di Melaka

 Kereta Toyota Vios milik seorang pemimpin PKR Melaka dibakar malam Sabtu lalu di Kampung Krubong semasa beliau dan sekumpulan pemimpin PKR dan BERSATU bertemu penduduk kampung.

"Saya mengesyaki motokar terbakar akibat daripada perbuatan khianat," kata Mohd Nasir Mamat dalam laporan polisnya.

Beliau memberitahuMalaysiakini kereta itu dibakar pada kira-kira 11.50 malam, kira-kira 30 minit selepas kumpulan itu tiba untuk bertemu penduduk tempatan di sebuah warung.

Mereka merancang untuk menjemput penduduk di ceramah yang dianjurkan di kampung itu pada 26 November, yang menampilkan Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad dan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ia adalah adat untuk berbuat demikian apabila kita masuk kampung orang lain," kata Mohd Nasir ketika dihubungi.

Terdapat kira-kira 40 penduduk di warung itu apabila kumpulan PKR dan BERSATU tiba, katanya.

Tiada kereta milik aktivis PKR dan BERSATU yang rosak kerana mereka berjaya mengalihkan kenderaan ketika seseorang perasan Toyota Vios itu terbakar.

Penduduk kampung cuba membantu memadamkan api dengan menyimbah air, katanya.

Api itu akhirnya dipadamkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat tetapi kereta itu hangus.

"Kereta itu tahun 2014, tapi apa boleh saya buat. Dah takdir. Tapi ini akan menjadi azam untuk saya meneruskan acara 26 November," kata Mohd Nasir.

Pada malam Sabtu lalu, Anggota Majlis Tertinggi BERSATU Rafiq Naizamohideen juga mendakwa menerima ancaman daripada seorang pemimpin Umno tempatan supaya tidak memasuki kampung itu

Bekas pemimpin Pemuda Umno itu mendakwa seorang penunggang motosikal telah menyimbah petrol pada Toyota Vios berkenaan sebelum membakarnya.

"Saya percaya perbuatan jahat ini ada kaitan dengan ugutan (terhadap) saya. Inilah cara pemimpin Umno sekarang bertindak, budaya samseng telah menjadi sebati di zaman ini," kata Rafiq dalam satu kenyataan.

Beliau juga menegaskan program 26 November di Kampung Krubong akan tetap diteruskan seperti dirancang
-malaysiakini

Tiada ulasan: