"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS sedia ‘ganggu’ pembangkang di 45 DUN di Selangor

Mohamad Fadli 
HULU LANGAT: PAS sudah bersedia untuk “mengganggu” rancangan 1 lawan 1 pembangkang menentang BN di 45 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen di Selangor.

Naib Presiden Datuk Iskandar Abdul Samad berkata kerusi pembangkang lain bebas untuk dirampas jika tiada persetujuan pembahagian kerusi dicapai dengan PAS.
“Kita sedia bertanding di 45 kerusi DUN, 15 kerusi Parlimen jika tak terikat persetujuan 2013. Ini beri ruang kepada PAS bertanding mana-mana kerusi sebab parti lain akan bertanding di kerusi PAS jika tiada keputusan dibuat.

“Kita telah hantar calon-calon kita kepada PAS Pusat untuk dipertimbangkan,” kata Iskandar pada sidang media himpunan PAS Selangor di Kuala Kubu Baru hari ini.

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini dilaporkan berkata PAS tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan. Semua rundingan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilaporkan belum membuahkan hasil, manakala usul memutuskan hubungan dengan PKR akan ditentukan pada muktamar 27 April ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu video tular Mac lepas dirakamkan mahu PAS memerintah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan Selangor, manakala selebihnya terserah kepada Umno.

PAS hari ini mencadangkan pakatan pembangkang supaya menumpukan negeri lain, sambil meminta Kelantan dan “kerusi tradisi” Pas tidak diganggu.

“Kita harap rakan-rakan dalam PH ingatkan mereka dan akur dengan kerusi tradisi PAS. Kita kena tumpu negeri yang dimenangi oleh Umno,” kata Tuan Ibrahim.

Sekarang, PAS Selangor berpendirian mengekalkan status quo tetapi akan akur terhadap apa jua keputusan pucuk pimpinan parti, jika PAS menamatkan kerjasama politik dengan PKR.

Ada 3 anggota exco kerajaan Selangor daripada PAS iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad (perumahan, pengurusan bangunan dan kehidupan bandar); Zaidy Abdul Talib (infrastruktur dan kemudahan awam, pemodenan pertanian dan industri asas tani) serta Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (hal ehwal agama Islam, adat melayu dan warisan, pembangunan desa dan kampung tradisi).

Selangor mempunyai 56 kerusi DUN yang diwakili DAP (14), PKR (13), PAS (13), BN (12), Amanah (2) dan Bebas (2).

Spekulasi kerjasama antara PAS dan Umno kuat diperkatakan menuju pilihan raya umum ke-14 yang selewat-lewatnya perlu diadakan tahun depan.

Tiada ulasan: