"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Veteran PAS cegah kerjasama PAS, Umno

PAS didakwa memang berniat untuk bekerjasama dengan BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti namun gagal dilaksanakan apabila mendapat tentangan sebahagian pemimpin kanan parti itu, dakwa Datuk Husam Musa.

Bekas naib presiden PAS itu mendakwa turut tidak bersetuju dengan cadangan itu ialah beberapa bekas pemimpin kanan parti berkenaan, termasuk veteran parti dan bekas wartawan yang kini menjadi anggota badan penasihat PAS.

Kata Husam - kini menjadi naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) - pemimpin kanan yang dimaksudkannya itu menyuarakan bantahan mereka melalui surat kepada pemimpin tertinggi PAS dan ia dibincangkan semasa pemukiman parti itu yang di Pulau Pangkor, Perak awal bulan ini.

"Seorang pemimpin kanan PAS telah menulis surat kepada semua ahli Majlis Syura dan pimpinan pusat PAS termasuk presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), untuk menghalang PAS daripada bersama dengan BN.

"Setakat maklumat saya dalam retreat PAS di Pulau Pangkor, PAS tidak berani buat keputusan untuk bersama dengan BN," katanya ketika ditemui selepas program ziarah mangsa kebakaran di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, hari ini.

Dalam sidang media 6 Mei lalu, setiausaha agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan pengguguran Datuk Mustafa Ali sebagai pengarah pilihan raya, dan pelantikannya sebagai penasihat parti itu.

Beliau dilantik sebagai pengerusi badan penasihat PAS yang turut dianggotai bekas naib presiden Dr Sanusi Daeng Mariok, bekas bendahari dan timbalan menteri besar Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan penulis veteran Subky Latif.

Penubuhan badan penasihat itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan timbalan presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang ketika itu memangku jawatan presiden kerana masalah kesihatan Abdul Hadi.

Pemukiman yang berlangsung pada 5 hingga 8 September lalu disertai semua pimpinan kanan PAS, seperti ahli Majlis Syura Ulama, anggota Jawatankuasa Pusat PAS dan badan penasihat bagi membincangkan pendekatan PAS pada PRU akan datang.

Abdul Hadi dan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin juga hadir.

Husam yang juga penasihat Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan berkata, PAS kini dalam dilema dalam menentukan pendekatannya pada PRU akan datang bagi mengelakkan hilang banyak kerusi.

"Nak kerjasama dengan BN tidak diterima oleh sebahagian pemimpin, nak datang kepada HARAPAN tidak dipersetujui pimpinan tertinggi, nak bertanding tiga penjuru mereka tahu akan kalah.

"Saya harap ahli dan pemimpin peringkat pertengahan boleh bangun mendesak pimpinan PAS untuk menentukan pendirian muktamad.

"Saya yakin PAS akhirnya akan menentukan sikapnya," katanya lagi.

Malaysiakini sedang menghubungi empat individu yang dimaksudkan untuk pengesahan, dan pemimpin PAS untuk mengulas perkara ini.
-malaysiakini

Tiada ulasan: